Jumaat, 24 Februari 2017 | 12:00am

Kanta lekap jejas imej maskulin?

PILIH rona sesuai agar nampak semula jadi, tidak bersifat feminin. - Foto hiasan
PILIH rona sesuai agar nampak semula jadi, tidak bersifat feminin. - Foto hiasan

BENARKAH lelaki yang memakai kanta lekap, lebih bersifat feminin dan berisiko menghilangkan sisi kegagahan seorang lelaki sejati?

Sebenarnya, kini lebih ramai lelaki metroseksual memilih memakai kanta lekap pelbagai warna untuk menambah tarikan dalam penampilan harian mereka.

Namun, timbul persoalan, masihkah lelaki itu dianggap lelaki gagah dengan limpahan rona mata 'plastik' yang agak janggal digayakan dalam kalangan golongan Adam.

Apatah lagi, rona pilihan adalah warna terang seperti biru, ungu dan jingga, berbanding warna semula jadi atau selamat seperti coklat tua, merah tua mahupun jernih.

Pilih rona tepat

Hakikatnya, bukan perkara asing pada zaman ini apabila lelaki mula ke hadapan mengintai sebahagian gaya keterampilan wanita menerusi pemakaian kanta lekap.

Tiada ada cacat-celanya memilih memakai kanta lekap bagi golongan Adam jika kena pada tempatnya. Cuma, golongan lelaki yang berminat dalam pemakaian kanta lekap perlu menjadikan pemakaian kanta ini meningkatkan imej mereka dan bukan sebaliknya.

Ini kerana, tidak dinafikan pemakaian kanta lekap bagi lelaki masih ada stigma masyarakat yang melihat ia hanya layak digayakan lelaki 'lembut'.

Namun, jika diamati di Barat mahupun Korea, hampir separuh lelaki di sana menggunakan kanta lekap jenis warna.

Keputusan kepada memilih gaya kanta lekap menampilkan mereka sebagai lelaki kacak, hebat dan berani.

Tampak semula jadi

Lihat saja, bintang hebat seperti Johnny Depp, David Beckham mahupun Brad Pitt yang digilai wanita kerana imej maskulin. Ini sekali gus, membuktikan pemakaian kanta lekap yang tepat dan sesuai tidak langsung menafikan kesegakan mereka.

Bagaimanapun, elemen maskulin penting untuk dikekalkan ketika memilih memakai kanta lekap. Kunci utama, biarlah ia nampak semula jadi.

AURA berkongsi cara pemilihan tepat penggunaan kanta lekap mengikut warna kulit si jejaka.

- Sama bebola mata

Lelaki harus memakai kanta lekap warna hampir sama dengan bebola mata mereka. Bukan saja lebih selamat tetapi membantu menaikkan penampilan mereka berbanding memilih rona terlalu berbeza dari jenis warna mata.

- Warna sesuai

Lelaki berkulit sawa matang atau gelap sesuai memilih kanta lekap rona gelap dan semula jadi seperti jed, topaz, coklat dan hazel.

Ini rona paling hebat kerana menampilkan imej lelaki maskulin dan lebih misteri apabila merenung wanita.

- Lelaki kulit cerah

Pilihlah warna kanta cerah dan seksi seperti akuamarin, biru laut atau pun hijau zamrud dan anda bereksperimen dengan warna terang ini. Pilihan lebih sesuai adalah kelabu kerana rona ini padan dengan warna kulit cerah anda.

- Praktikal digayakan

Praktikal pada sesuatu produk digunakan adalah pilihan terbaik. Jangan fikir gaya saja kerana jika tidak praktikal memang menghampakan. Justeru, ketika memilih kanta lekap, bawa rakan lelaki anda untuk memberi pandangan. Pastikan ia bukan sekadar imej tetapi praktikal untuk anda gunakan di rumah mahupun di pejabat.

- Sesuai dengan kerjaya

Jika anda memiliki kerjaya model, pramugara atau selebriti, pilihan rona unik mungkin sesuai tetapi bagi mereka berada dalam bidang ketenteraan, beruniform dan korporat, elakkan menggunakan kanta lekap dari warna seperti biru dan ungu yang memang tidak sesuai dengan karakter, bangsa dan genetik anda.

Apatah lagi jika anda berwajah Melayu tulen dan bukan kacukan. Ia nampak pelik.

Berita Harian X