Selasa, 28 Februari 2017 | 12:05am

Rekaan fabrik baldu gaya berani

FABRIK baldu menjadi antara trend yang popular sejak kebelakangan ini dan ia bukan lagi hanya untuk gaun dipakai ke parti atau perayaan Krismas.

Jika kita bijak memilih warna dan rekaan yang sesuai, fabrik baldu pasti cukup menarik serta anggun apabila digayakan.

Pelbagai rekaan pakaian yang menggunakan fabrik baldu, didatangkan dalam variasi rona, dan gaya berani (bold) dipasarkan untuk musim ini.

Antara trend musim panas yang dijangka bakal mendapat sambutan hangat adalah rekaan crushed velvet dresses seperti yang kita lihat terdapat dalam koleksi musim bunga/panas 2017 oleh Victoria Beckham.

Untuk musim ini ada pelbagai variasi rekaan baldu menarik yang cukup memikat seperti blazer, jumpsuit, kasut dan beg.

Rekaan fabrik baldu ini cukup mudah dan bergaya untuk anda suai padan dengan apa yang ada dalam almari.

Pelbagai pilihan baldu

Kini trend pakaian fabrik baldu dalam rona kelabu dan merah jambu menjadi alternatif kepada warna tradisional seperti hitam dan burgundy yang selalunya dikaitkan dengan musim sejuk.

Peruncit fesyen menawarkan pilihan rekaan trend baldu yang pelbagai, khas bagi anda yang menggemari tekstur baldu mewah dan tidak lupa juga buat anda yang baru cuba bereksperimentasi.

Di sini saya kongsikan panduan untuk penampilan terbaik dengan rekaan pakaian fabrik baldu menyerlah untuk disarung sepanjang hari.

1. Warna

Pilihan warna tidak perlu menonjol. Pilihlah warna hitam, coklat dan gading. Fabrik baldu juga cukup hebat dan mewah dalam rona permata yang gelap.

2. Aksesori

Gayakan rantai mutiara, barang kemas inspirasi vintage Art Deco, cincin bersaiz besar dan rantai panjang.

3. Blazer

Setiap wanita perlu ada blazer baldu dalam almari. Anda boleh memakainya sama seperti tuxedo jacket dipadankan dengan blaus ropol atau kemeja putih. Padankan juga blazer baldu anda dengan jeans untuk gaya santai yang cukup segar dan bersahaja.

4. Sut dan pantsuit

Pakaian baldu rekaan ini lebih sesuai untuk acara ataupun aktiviti malam.

5. Seluar

Seluar baldu sememangnya menarik, tetapi bukan semua wanita boleh menggayakannya. Kalau tidak kena gaya ia boleh memberikan ilusi bottom heavy pada si pemakai.

INFO: Blazer

* Jaket sama sendat berbres tunggal, berkocek tampal dan biasanya dipadankan dengan seluar berlainan warna. Pakaian lelaki yang popular pada tahun 1960-an.

Sut/pantsuit

* Pakaian yang terdiri daripada dua atau tiga kombinasi yang sedondon atau kontra yang direka untuk dipakai bersama atau selengkapnya. Sut lazimnya terdiri daripada seluar dan jaket.

* Jika anda kurang yakin untuk menggayakan sama ada blazer atau top baldu, apa kata anda cuba bereksperimentasi dengan aksesori dahulu seperti kasut, but atau skaf. Namun begitu perlu diingat, pemakaian kasut, topi, blazer dan aksesori yang dipakai serentak dalam satu masa perlu dielakkan sama sekali.

Berita Harian X