X
Jumaat, 17 March 2017 | 12:03am

Mainan anak jadi sumber pendapatan

BUTTERWORTH: Bermula dengan minat membeli mainan terpakai dari luar negara untuk anak, sepasang suami isteri dari Teluk Air Tawar, kini berjaya membuka perniagaan menjual permainan berkenaan secara tetap.

Bagi Nur Maizura Abdul Rahman, 35, dan suaminya, Faiz Ramli, 32, mereka gemar membeli mainan terpakai yang dijual di beberapa laman web luar negara kerana ada di antaranya masih baru dan berada dalam keadaan baik.

Menariknya, semua permainan terbabit tidak ada di pasaran tempatan, kerana semuanya dikeluarkan di Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan Kanada, yang mana ada antara koleksinya dikeluarkan sekitar tahun 1970-an.

Maizura berkata, idea menjual permainan terpakai bermula apabila mereka membeli untuk 'suka-suka' kerana dua anak lelakinya yang berusia tiga dan lima tahun, sangat meminati permainan import dan sering meminta dibelikan mainan baharu.

Bermula detik itu, Maizura dan Faiz kerap membeli mainan terpakai sedikit demi sedikit sehingga mereka memiliki pelbagai koleksi mainan termasuk figura watak anime, koleksi patung Ultraman, raksasa, robot, anak patung dan kereta 'Hot Wheels'.

Nur Maizura (kanan) bersama suaminya Faiz Ramli, (tengah) yang menjadikan minat terhadap mainan terpakai sebagai bisnes. - Foto Zulaikha Zainuzman
Nur Maizura (kanan) bersama suaminya Faiz Ramli, (tengah) yang menjadikan minat terhadap mainan terpakai sebagai bisnes. - Foto Zulaikha Zainuzman

NUR Maizura dan suami gemar membeli mainan terpakai menerusi laman web di luar negara. - Foto Zulaikha Zainuzman
NUR Maizura dan suami gemar membeli mainan terpakai menerusi laman web di luar negara. - Foto Zulaikha Zainuzman

Maizura berkata, koleksi yang dimilikinya pula sering mendapat perhatian jiran tetangganya apabila mereka kerap meminta dia dan suaminya membeli mainan terpakai terbabit disebabkan keunikannya.

"Apabila melihat reaksi rakan dan jiran yang turut meminati mainan terpakai, kami mendapat idea untuk mencuba berniaga permainan terpakai secara kecil-kecilan sejak 2014 menggunakan laman sosial Facebook dan Instagram.

"Siapa sangka, percubaan saya dan suami menjual mainan terpakai hampir empat tahun mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja dari penduduk di negeri ini, malah mendapat perhatian pelanggan luar negara," katanya ketika ditemui BH di kedainya di Lorong Teluk Air Tawar.

Maizura berkata, sejak berkahwin dia tidak pernah bekerja kerana mahu menumpukan perhatian membesarkan anak-anak, manakala suaminya pula berniaga menjual barangan secara atas talian.

"Pada Jun tahun lalu, kami nekad menyewa kedai berdekatan selepas rumah tidak lagi muat menyimpan stok mainan yang terlalu banyak, sekali gus membolehkan pelanggan memilih permainan diminati," katanya.

NUR Maizura menunjukkan antara anak patung yang terdapat di kedainya. - Foto Zulaikha Zainuzman
NUR Maizura menunjukkan antara anak patung yang terdapat di kedainya. - Foto Zulaikha Zainuzman

NUR Maizura melayan pelanggan yang berkunjung ke kedainya untuk mendapatkan barang mainan yang biasanya tiada di negara ini. - Foto Zulaikha Zainuzman
NUR Maizura melayan pelanggan yang berkunjung ke kedainya untuk mendapatkan barang mainan yang biasanya tiada di negara ini. - Foto Zulaikha Zainuzman

Katanya, ketika masih menyusun permainan di kedai, sudah ada pelanggan membeli permainan dalam jumlah yang banyak sehingga mereka terkejut.

"Kenangan itu memang lucu, tetapi saya dan suami bersyukur kerana tidak menyangka mendapat rezeki 'segera' dan paling gembira dapat memuaskan hati pelanggan kami," katanya.

INFO

  • Mendapatkan permainan dari Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan Kanada.

  • Memiliki pelbagai koleksi mainan termasuk figura watak anime, koleksi patung Ultraman, raksasa, robot, anak patung dan kereta 'Hot Wheels'.

  • Menyewa kedai berdekatan Jun tahun lalu selepas rumah tidak lagi muat menyimpan stok mainan yang terlalu banyak.
FAIZ Ramli sedang menyusun mainan terpakai seperti figura kartun anime, raksasa dan robot yang dijual di Hail Prelove Store, Teluk Air Tawar, Butterworth. - Foto Zulaikha Zainuzman
FAIZ Ramli sedang menyusun mainan terpakai seperti figura kartun anime, raksasa dan robot yang dijual di Hail Prelove Store, Teluk Air Tawar, Butterworth. - Foto Zulaikha Zainuzman
NUR Maizura Abd Rahman pemilik Hail Prelove Store, di Teluk Air Tawar, Butterworth. - Foto Zulaikha Zainuzman
NUR Maizura Abd Rahman pemilik Hail Prelove Store, di Teluk Air Tawar, Butterworth. - Foto Zulaikha Zainuzman
Berita Harian X