Jumaat, 16 Jun 2017 | 12:04am

Misbun perlu bijak atasi kerenah birokrasi BAM

MISBUN kini kembali menggalas tugas sebagai Ketua Jurulatih Perseorangan Negara. - Foto Osman Adnan

KESEDIAAN Datuk Misbun Sidek untuk kembali menggalas tugas sebagai Ketua Jurulatih Perseorangan Negara, perlu dipandang positif dan disambut baik oleh semua pihak.

Kepulangan Misbun dilihat mampu memberi impak besar kepada skuad badminton kebangsaan terutama pemain perseorangan lelaki (kecuali Datuk Lee Chong Wei) yang dilihat terumbang-ambing dan sering kalah mengejut di tangan pemain tidak ternama.

Kita juga berharap kepulangan Misbun dapat membantu Chong Wei merangka strategi dan taktik terbaik untuk menewaskan musuh tradisinya dalam sukan badminton iaitu Lin Dan di kejohanan antarabangsa.

Khidmat bakti, pengalaman dan kepakaran Misbun juga sangat ditagih di saat Malaysia mengidam untuk menuai kilauan emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan Kejohanan Dunia di Glasgow, pada Ogos nanti.

Kredibiliti dan kehebatan pemain legenda itu sebagai jurulatih sememangnya tidak boleh dipertikaikan dengan beliau adalah individu bertanggungjawab membawa pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei meraih pingat perak Olimpik pertamanya pada 2008 di Beijing.

Misbun juga pernah membimbing dan menjadi jurulatih kepada beberapa pemain ternama Malaysia termasuk Rashid Sidek, Wong Choon Han, Roslin dan Muhammad Hafiz Hashim.

Justeru, di atas kertas Misbun adalah calon paling layak untuk mengetuai kem kejurulatihan negara terutama dalam usaha melonjakkan semula prestasi skuad badminton negara menjelang KL2017 dan Kejohanan Dunia, kira-kira dua bulan lagi.

Jang mangsa kritikan

Namun, tugas Misbun bukannya mudah kerana beliau perlu melakukan rombakan besar-besaran terhadap barisan pemain sedia ada dan membawa masuk orang baharu ke kem badminton negara.

Kita juga mahu melihat siapakah pemain lama dan baharu yang bakal dipilih Misbun untuk berlatih di bawah kelolaannya dan impaknya sebenar apabila mereka beraksi di Sukan SEA dan Kejohanan Dunia nanti.

Jika Misbun berjaya membawa impak besar kepada kem badminton negara terutama membimbing Chong Wei muncul juara di Kejohanan Dunia sudah pasti beliau akan mendapat pujian menggunung.

Bagaimanapun, jika gagal sudah pasti Misbun bukan hanya bakal menjadi mangsa kritikan pedas peminat dan pengkritik kerana sebelum ini beliau juga lantang mengkritik mutu permainan dan corak latihan skuad negara jika mereka gagal atau tewas di pusingan awal kejohanan antarabangsa.

Misbun juga perlu menghadapi cabaran kuasa 'tangan ngaib' yang sentiasa menjadi 'api dalam sekam' dan dari dulu sampai sekarang hanya menunggu peluang untuk menyingkirkan individu tidak sebulu dengan mereka dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Bak kata pepatah Melayu lama 'pisau dan tembikai' sudah pun di tangan BAM sekarang terpulanglah kepada pengurusan kanan BAM untuk menentukan hala tuju dan jatuh bangunnya sukan badminton Malaysia.

Berita Harian X