Jumaat, 14 Julai 2017 | 12:02am

KL2017 pasti gamit peminat

BIARPUN kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri masih berterusan dan gembira dapat menikmatinya dalam suasana aman, atlet negara sebaliknya sibuk dalam persiapan di dalam dan di luar negara menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) yang akan berlangsung 40 hari saja lagi.

Debaran KL2017 semakin hampir dan bahangnya sudah terasa sejurus tiket untuk menyaksikannya sudah dijual secara atas talian mulai Selasa lalu dengan harga yang ditawarkan bagi menyaksikan 19 acara sukan dan juga majlis pembukaan serta penutupan adalah sangat berpatutan dengan harga tidak melebihi RM20 sekeping.

Selepas menantinya 16 tahun untuk temasya ini kembali dipertandingkan di laman sendiri, rakyat Malaysia boleh memainkan peranan besar dalam memastikan kejayaan atlet negara dengan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi buat semua atlet kita yang bertanding tidak kiralah pada Sukan SEA atau Sukan Para ASEAN yang akan berlangsung September nanti.

Harga tiket berpatutan

Kepentingan kehadiran penyokong tempatan di venue pertandingan adalah penting dan disebabkan itulah ada yang menggelarkan penyokong sebagai 'pemain ke-12' dalam permainan bola sepak dan diharap masalah venue yang kosong seperti mana sering berlaku ketika kejohanan tempatan dilangsungkan tidak berlaku pada temasya kali ini.

Dengan harga yang dikira sangat berpatutan itu, diharap lebih ramai yang akan membeli tiket lebih awal bagi menyaksikan sendiri kehebatan barisan atlet negara yang bakal bertanding dengan nama besar arena sukan seperti jaguh keirin dunia, Azizulhasni Awang dan ratu terjun Pandelela Rinong bakal beraksi di laman sendiri.

Harus diingatkan bukanlah semua acara dikenakan bayaran tiket dengan 32 acara sukan lain termasuklah sukan utama seperti olahraga dan hoki boleh disaksikan secara percuma.

Bagi olahraga yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kapasiti tempat duduk yang mampu menampung sehingga 87,000 penonton, pastinya gema sorakan penonton sangat diperlukan bagi menyemarakkan lagi semangat atlet olahraga negara untuk beraksi di stadium sebesar itu.

Sehingga ke hari ini, tiket ke acara bola jaring bagaimanapun sudah habis dibeli dengan hanya beberapa jam selepas penjualan tiket atas talian dilancarkan dan diharap lebih ramai membeli tiket lebih awal memandangkan kapasiti setiap venue adalah terhad.

Sokongan padu rakyat tempatan memenuhi venue pertandingan pastinya akan menyemarakkan lagi semangat atlet negara bagi memenuhi misi muncul juara pada edisi ke-29 Sukan SEA yang akan membuka tirainya pada 19 Ogos dan berakhir pada 30 Ogos ini.

Jadi, jangan lupa untuk segera melayari laman web www.kualalumpur2017.com.my bagi mendapatkan tiket masing-masing. Ayuh Malaysia, Bangkit Bersama!

Berita Harian X