Isnin, 17 Julai 2017 | 12:08am

Aaron tua romantik

KETIKA ramai bakat muda tampil menghiasi arena lakonan negara ini, nama Aaron Aziz, 41, terus menjadi pilihan penerbit dan pengarah bagi menjayakan watak utama mahupun hero romantik.

Kemunculan nama seperti Fattah Amin, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya dan Saharul Ridzwan nyata belum mampu menggugat bintang kelahiran Singapura itu untuk terus menjayakan drama atau filem terbitan produksi Malaysia.

Namun begitu, Aaron sendiri mengaku beliau bersedia untuk berdepan hakikat andainya satu hari nanti khidmatnya sebagai watak utama sesebuah karya tidak lagi diperlukan. Namun di sudut lain, Aaron memanjatkan kesyukuran kerana di sebalik kehadiran ramai bakat baharu, beliau masih mampu mengekalkan kedudukan.

"Saya sememangnya perlu bersedia andai kata suatu hari nanti saya sudah tidak relevan lagi dalam industri ini. Namun alhamdulillah, setakat ini tawaran berlakon yang diterima tidak pernah putus, baik daripada produksi tempatan mahupun luar negara.

"Saya percaya kepada rezeki yang ditetapkan oleh Allah. Sehingga kini saya masih lagi mempunyai tempat dan ruang untuk terus berkarya dalam bidang ini," katanya.

Makin berusia makin berharga


PELAKON, Aaron Aziz. - Foto Aziah Azmee

Bagi Aaron, bukanlah menjadi masalah andai pelakon berusia 40-an terus diberi peluang memegang watak hero atau karakter utama dalam drama mahupun filem.

"Di Hollywood, orang memperkatakan mengenai hakikat semakin berusia seseorang pelakon, mereka semakin mendapat tempatan dalam industri lakonan. Malah bayaran yang diterima juga semakin meningkat, seiring dengan pengalaman yang ada. Begitupun, sukar untuk kita membuat perbandingan sebegitu dengan keadaan industri seni kita. Situasi kedua-duanya agak berbeza kerana industri perfileman di Hollywood cukup gah.

"Tetapi saya percaya, mungkin suatu hari nanti, perkara sama akan berlaku dalam industri seni tempatan sekiranya pihak yang berkenaan membuka mata mereka terhadap perkara ini.

"Malah jika dilihat kepada keadaan sekarang, semakin ramai pelakon yang sedikit berusia turut mendapat tempat dan terus diberikan kepercayaan membawakan watak utama dalam filem atau drama. Pengkarya harus lebih bijak untuk mencorak watak dan jalan cerita agar sesuai dengan usia pelakon," katanya.

Mesti tinggalkan kesan


AARON tidak mempunyai masalah untuk menerima watak bapa dalam naskhah lakonannya. - Foto Aziah Azmee

Sementara itu, Aaron juga berkata, beliau tidak mempunyai masalah untuk menerima watak bapa dalam naskhah lakonannya. Namun, ayah kepada tiga cahaya mata itu tetap meletakkan syaratnya tersendiri.

"Sekiranya mula ditawarkan watak sebagai bapa, saya tiada masalah untuk menerimanya. Namun, saya cuba untuk bersikap lebih selektif terhadap watak yang dipegang. Ia bukannya bukannya sekadar watak yang ringan, sebaliknya mampu meninggalkan kesan kepada khalayak.

"Malah sekarang ini, saya sebenarnya sudah mula mengelak daripada menerima watak yang dilihat terlalu muda, namun tidaklah terlalu tua. Saya cuba mencari watak dalam lingkungan usia yang sesuai dengan umur sekarang," katanya.

Bengkel lakonan banyak membantu


(DARI kiri) Hisyam Hamid, Soo Wincci dan Aaron Aziz. - Foto Aziah Azmee

Menyentuh produk baharu lakonannya, Aaron bakal muncul dengan filem adaptasi novel, Kau Yang Satu, yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 27 Julai ini.

Naskhah terbitan Astro Shaw dan Global Station itu turut menggandingkan beliau buat julung kalinya bersama bintang yang semakin mencipta nama, Izara Aishah. Selain mereka berdua, filem terbabit juga dibintangi oleh Hisyam Hamid, Soo Wincci, Amyra Rosli dan Wan Hanafi Su.

Kata Aaron, walaupun beliau pernah membintangi naskhah adaptasi novel seperti Ombak Rindu, namun pengalaman bekerja di bawah pengarah, Osman Ali, kali ini dianggapnya cukup berbeza.

Bengkel lakonan yang diadakan bersama Ellie Suriaty pula membuatkan pelakon lebih bersedia apabila berada di set penggambaran.

"Menerusi bengkel lakonan yang diadakan sebelum masuk ke set penggambaran, pelakon mempunyai gambaran jelas terhadap babak yang ingin dilakonkan. Jadi, apabila berada di set, pelakon sudah bersedia sepenuhnya.

"Malah, dengan menjalani bengkel lakonan juga, pelakon mendapat keserasian yang jelas. Jadi, tidak timbul perasaan janggal untuk berlakon bersama, apatah lagi apabila membabitkan babak romantik," katanya.

Babak intim tak melampau


FILEM Kau Yang Satu memberi cabaran kepada Aaron kerana sarat dengan babak penuh kemesraan. - Foto Aziah Azmee

Kata Aaron juga, walaupun naskhah Kau Yang Satu adalah filem bercorak romantik, ia tetap memberi cabaran untuk beliau menjayakannya kerana sarat dengan babak penuh kemesraan.

"Walaupun banyak babak yang dilihat cukup intim, tetapi ia tidaklah melampau seperti dalam filem Hollywood, sebaliknya masih sesuai untuk tontonan orang Timur.

"Selain itu, teknik rakaman kamera juga penting bagi memberi gambaran terhadap sesuatu babak yang dilakonkan, agar melepasi suntingan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

"Malah sebagai pelakon, ada teknik tersendiri dilakukan bagi menjayakan adegan berpeluk. Paling penting, kita tidak mengambil kesempatan terhadap pelakon wanita, sebaliknya bersikap profesional dalam lakonan," katanya.

Serasi dengan Izara


PELAKON, Aaron Aziz dan Izara Aishah. - Foto Nur Adibag Ahmad Izam

Kali pertama digandingkan dengan Izara, 24, Aaron berasakan aktres muda itu antara pelakon yang cukup serasi dengan dirinya.

"Saya melihat Izara seperti seorang adik disebabkan perbezaan usia kami. Awalnya, saya agak janggal untuk melakonkan babak romantik dengannya. Namun, kesungguhan lakonan yang ditonjolkan oleh Izara membuatkan saya berasakan tidak adil sekiranya saya melakukan sekadar yang boleh.

"Jadi, masing-masing sudah pun memberi lakonan yang terbaik dan kini kami berharap peminat dapat menyokong filem ini apabila ditayangkan di pawagam nanti," katanya.

Info

  • Kau Yang Satu menyaksikan kali kedua Aaron bekerjasama dengan sutradara, Osman Ali, selepas Ombak Rindu.
  • Filem bercorak romantik ini turut dijayakan oleh Hisyam Hamid, Soo Wincci, Amyra Rosli, Wan Hanafi Su dan Zaidi Omar.
  • Ia menjalani penggambaran di sekitar Pahang, Selangor dan New Zealand.
  • Kau Yang Satu, terbitan Astro Shaw dan Global Station, bakal ditayangkan bermula 27 Julai ini.

Berita Harian X