Ahad, 5 Februari 2017 | 7:30am

Himpunan jentera berkuasa idaman

Rekaan mewah, kuasa hebat menjadi idaman ramai.
Rekaan mewah, kuasa hebat menjadi idaman ramai.

SEBUT sahaja Mercedes-Benz Dream Cars Collection pasti ramai teruja untuk melihatnya, apatah lagi memandu jentera berkuasa tinggi dengan gaya yang elegan, serba mewah dan sporty itu.

Peluang menyertai sesi pandu uji Mercedes-Benz Dream Car Collection dari Desa Parkcity, Kuala Lumpur ke Ipoh baru-baru ini memberikan pengalaman bermakna kepada penulis untuk merasai sendiri keseronokan dan kehebatan jentera mewah berkuasa daripada syarikat automotif terkemuka Jerman itu yang turut membariskan kenderaan talaan AMG iaitu Mercedes-AMG C 63 S Coupe, Mercedes-AMG S 63 Coupe dan Mercedes-AMG GT S.

Selain model talaan AMG, sesi pandu uji itu turut menghidangkan beberapa lagi model seperti Mercedes-Benz C-Class Cabriolet, Mercedes-Benz SLC dan Mercedes-Benz C-Class Coupe.

Penulis yang digandingkan dengan wartawan dari Harian Metro memulakan sesi pandu uji membabitkan dua hari satu malam itu dengan memandu C300 convertible, model anggun menggunakan enjin empat sebaris dan empat injap setiap silinder yang berkapasiti 2.0 liter atau sesaran 1,991cc, serta dipadukan bersama transmisi automatik 7-kelajuan 7G-TRONICPLUS.

Di sebalik keangguannya, model yang boleh dibuka bumbungnya ini mampu mencecah kelajuan 250 kilometer sejam (km/j) dan mampu mencatat kepantasan 0-100 km/j dalam masa 6.0 saat.

Destinasi pertama kami ialah ke Cameron Highlands Resort untuk menikmati makan tengahari diikuti jamuan minum petang di The Smokehouse Hotel & Restaurant di pusat peranginan itu sebelum menuju ke Banjaran Hotsprings Retreat di Tambun, Ipoh yang menjadi hotel penginapan kami.

Koleksi kereta Mercedes -Benz memiliki kehebatan dan keunikan tersendiri.
Koleksi kereta Mercedes -Benz memiliki kehebatan dan keunikan tersendiri.

Di pertengahan perjalanan sejauh 198 kilometer (km) ke Cameron Highlands Resort, iaitu itu di R&R Tapah, penulis bertukar pula kepada jentera Mercedes-AMG C 63 S Coupe.

Dijanakan oleh enjin 4.0 liter V8 bi-turbo, jentera ini boleh menghamburkan kuasa sehingga 510 hp pada 5,500 rpm dan puncak tork 700 Nm pada 1,750 menggunakan bantuan transmisi AMG SPEEDSHIFT MCT tujuh-kelajuan yang meledakkan lagi kuasanya.

Keterujaan mengendalikan C 63 S Coupe terus meledak sebaik pedal pendikit dipijak dengan kuasanya tidak segan-silu dihamburkan.

Walaupun pada mulanya ia 'terasa' sedikit meliar, namun hakikatnya jentera ini mudah untuk dikawal. Malah ia mampu mempamerkan pelbagai aksi pemanduan, sama ada secara agresif atau sekadar 'fun drive'.

Tambah menyeronokkan apabila pemanduan kami ke Cameron Highlands menggunakan jalan lama dari Tapah yang mempunyai banyak selekoh tajam serta pendakian yang menyerlahkan karakteristik tersendiri C 63 S Coupe, yang boleh bertukar-tukar mengikut corak pemanduan.

Mengikut risalah spesifikasinya, C 63 S Coupe mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya empat saat dan kelajuan tertinggi yang dicatatkan ialah 250 km/j. Namun suasana jalan Tapah ke Cameron Highlands yang agak sibuk serta banyak selekoh tajam tidak memungkinkan penulis mencapai kelajuan tertinggi jentera itu.

Ruang kabin lebih selesa dan elegan.
Ruang kabin lebih selesa dan elegan.

Apapun, yang begitu mengujakan memandu jentera itu ialah deruman enjinnya yang sememangnya menarik perhatian sesiapa sahaja yang dilewati ketika pemanduan itu.

Selesai aktiviti di Cameron Highland, kami meneruskan perjalanan ke Ipoh menerusi Simpang Pulai dan kali ini, gandingan saya pula yang memandu dan kami kembali semula ke dalam jentera C300 convertible.

Sebagai penumpang, saya dapat menikmati sepenuhnya keselesaan dan kemewahan ditawarkan model berkenaan yang dilengkapi dengan pelbagai ciri dan sistem multimedia canggih hinggakan tanpa disedari penulis sempat tertidur seketika dalam perjalanan sejauh 87 km itu ekoran 'menikmati sepenuhnya' suasana selesa dalam kabinnya.

Keesokan harinya selepas disajikan penginapan selesa di Banjaran Hotsprings Retreat, kami meneruskan sesi pandu uji dengan bergilir-gilir memandu jentera yang disediakan di sekitar bandaraya Ipoh.

Peluang sangat dinantikan pastinya untuk menguji jentera Mercedes-AMG GT S yang dianggap sebagai jentera untuk litar perlumbaan dan pada masa sama tetap boleh digunakan di jalan biasa.

AMG GT S dijanakan oleh enjin 4.0 liter V8 bi-turbo yang mampu meledakkan kuasa sehingga 510 hp pada 6,250 rpm dan tork setinggi 650 Nm pada 1,750 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi AMG SPEEDSHIFT DCT tujuh-kelajuan yang sangat cekap dalam penukaran gear.

Gabungan enjin penuh berkuasa dan transmisi ini membolehkan AMG GT S hanya mengambil masa selama 3.8 saat untuk mencecah kelajuan dari 0 hingga 100 km/j, juga boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 310 km/j.

Sekalipun hanya berpeluang mengujinya selama kira-kira 45 minit dalam suasana pemanduan agak terhad di bandaraya Ipoh yang agak sibuk, kepuasan memandu jentera dengan tag harga RM1,125,888 sukar digambarkan.

Apa tidaknya, tekan sedikit sahaja pedal pendikit, berdesup jentera itu meluncur dengan penuh jayanya. Apatah lagi ia 'diiringi' dengan deruman ekzos yang sungguh 'mempersona' ibarat berada di trek perlumbaan serta menarik perhatian ramai.

Selain AMG GT S, model yang mengujakan penulis untuk dicuba ialah Mercedes-AMG S 63 Coupe.

Sesuai dengan tag harganya RM1,493,888 dan model termahal yang ditawarkan untuk sesi pandu uji itu, S 63 Coupe boleh dikatakan sebagai "modern masterpiece" di dalam seni kejuruteraan automotif.

Pernah diangkat sebagai Kereta Mewah Tahunan Dunia, S 63 Coupe ini memiliki kombinasi elegan dan mewah dengan sentuhan sporty.

Hasil padanan enjin AMG 5.5 liter V8 biturbo, iaitu dari keluarga enjin BlueDIRECT yang paling berkuasa, S 63 Coupe mampu meledakkan 585 hp dan tork 900 Nm.

Enjin berkuasa ini turut dipadankan dengan transmisi automatik AMG Speedshift MCT tujuh-kelajuan yang menyalurkan kuasa pada roda belakang, membolehkannya memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 4.3 saat.

Bagaiamanpun, kelajuan maksimum jentera ini terhad sehingga 250 km/j dan walaupun saiznya agak besar, mengendalikannya juga tidak sesukar mana.

Selanjutnya, penulis turut mencuba beberapa lagi model yang disediakan, namun memandu AMG GT S dan S 63 Coupe seakan puncak kenikmatan hinggakan pemanduan berikutnya dirasakan anti-klimaks.

Penulis mengakhiri sesi pandu uji dengan memandu SLC300 untuk perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.

SLC 300 yang dijana enjin 2.0 liter ini berupaya menghamburkan kuasa 245hp dan tork setinggi 270Nm. Pecutan dari titik pegun sehingga 100 km/j dapat dilakukan dalam tempoh 5.8 saat sahaja.

INFO

Mercedes-AMG C 63 S Coupe

  • Kuasa: 3982cc
  • Pecutan 0-100km/j: 3.9 saat
  • Kelajuan maksimum: 290 kj
  • Harga (atas jalan tanpa insurans) termasuk GST: RM795,888 (Edisi 1), RM773,888

Mercedes-AMG S 63 Coupe

  • Kuasa: 5461cc
  • Pecutan 0-100km/j: 4.3 saat
  • Kelajuan maksimum: 250 kj
  • Harga (atas jalan tanpa insurans) termasuk GST: RM1,493,888

Mercedes-AMG GT S

  • Kuasa: 3982cc
  • Pecutan 0-100km/j: 3.8 saat
  • Kelajuan maksimum: 310 kj
  • Harga (atas jalan tanpa insurans) termasuk GST: RM1,125,888

Bahagian belakang nampak sporty.
Bahagian belakang nampak sporty.

Berita Harian X