Rabu, 22 March 2017 | 9:00am

Taja Kelas Celik Yamaha

JIM Khor (barisan kedua, duduk tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama sebahagian guru dan pelajar SMK Bukit Rahman Putra selepas melancarkan Kelas Celik Yamaha di Sungai Buloh.
JIM Khor (barisan kedua, duduk tiga dari kanan) bergambar kenangan bersama sebahagian guru dan pelajar SMK Bukit Rahman Putra selepas melancarkan Kelas Celik Yamaha di Sungai Buloh.

HONG Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) menaja Kelas Celik Yamaha di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rahman Putra di bawah Program Pendidikan Bersepadu Khas (SEIP).

Program tanggungjawab sosial HLYM itu dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Ahmad Tajudin Jab.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Mohd Salled Mohd Kassim; Pengarah Urusan HLYM, Datuk Jim Khor; guru; dan kakitangan HLYM.

"Kementerian Pendidikan amat mengalu-alukan sumbangan dan kerjasama daripada sektor swasta untuk memperkasakan pendidikan komuniti. Kami percaya komuniti dapat mempelajarinya bersama.

"Kami memuji langkah HLYM untuk menaja ke arah menyediakan dan meningkatkan pengetahuan pendidikan dalam usaha mereka membantu masyarakat," kata Ahmad Tajudin.

Ditubuhkan sejak 2001, SEIP memiliki keseluruhan 16 kelas bersepadu mengandungi 105 pelajar dan 19 guru.

Program bersepadu ini menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang kondusif untuk pelajar dan guru.

Penajaan HLYM itu adalah kerjasama terbaharu antara syarikat swasta dengan SMK Bukit Rahman Putra selepas Kempen Sains Tunggangan Selamat Yamaha (YSRS) dan aktiviti Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS).

Menerusi penajaan SEIP, HLYM bekerjasama dengan pihak sekolah dalam membangunkan bilik darjah termasuk menyediakan set peralatan pendidikan lengkap.

Selain itu, HLYM juga akan berkongsi kepakaran dan memberi kerjasama kepada sekolah untuk membangunkan siri program sistematik.

"Kami bangga untuk mengumumkan penajaan Kelas Celik Yamaha ini. Aktiviti ini adalah sebahagian daripada komitmen kami kepada komuniti.

"HLYM akan terus menyokong Kementerian Pendidikan dan meneruskan hubungan baik dengan SMK Bukit Rahman Putra menerusi pelbagai aktiviti bermanfaat untuk komuniti," kata Jim Khor.

Info:
Kelas Celik Yamaha

  • Program CSR HLYM dengan SMK Bukit Rahman Putra
Berita Harian X