Isnin, 24 April 2017 | 3:24pm

Tiga varian terkini BMW R nineT unik

BMW R nineT Pure.
BMW R nineT Pure.

BMW Motorrad Malaysia memperkenalkan tiga varian terkini rangkaian model heritage menerusi BMW R nineT, BMW R nineT Pure dan BMW R nineT Racer baharu.

BMW R nineT yang dipertingkatkan ditampilkan dengan konsep unik iaitu keseronokan tunggangan sebenar melalui reka bentuk klasik dan minimalis, di samping fokus terhadap aspek teknikalnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun, berkata rangkaian model heritage BMW Motorrad membolehkan pihaknya meneroka segmen baharu motosikal premium di negara ini.

Sejak dua tahun lalu, BMW Motorrad dilihat mencatat prestasi memberangsangkan dengan jualan lebih 1,000 unit motosikal

di negara ini.

"Ini adalah petunjuk positif. Bukan sahaja dari segi potensi pertumbuhan, malah terdapat daya tarikan terhadap motosikal keluaran kami. Susulan itu kami membentuk satu segmen motosikal yang baharu," katanya pada majlis pelancaran varian berkenaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua BMW Motorrad, Owen Riley berkata, segmen heritage itu dicipta untuk peminat motosikal yang gemar melakukan ubah suai dan menggayakan motosikal mengikut cita rasa masing-masing.

BMW R nineT.
BMW R nineT.

"BMW R nineT Pure baharu ialah sebuah roadster yang asas. BMW R nineT Racer pula ialah sebuah motosikal sport separa padanan dengan rekaan klasik dan 'old-school'. Kedua-dua model ini cukup popular sekitar tahun 1960-an dan 1970-an.

"Ia dilihat terus memberi inspirasi dan meninggalkan nostalgia kepada ramai peminat motosikal hingga ke hari ini," katanya.

Semua model heritaj BMW Heritage dipacu oleh enjin boxer penuh kuasa dengan sistem penyejukan cecair/udara berkapasiti 1,170cc. Ia mampu menjana kuasa sehingga 110hp dan tork maksimum 116Nm.

Enjin itu dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan, manakala rangkaian kuasa itu direka untuk memenuhi piawaian emisi EU4.

Motosikal baharu dalam rangkaian BMW Motorrad Heritage turut ditawarkan dengan program pembiayaan khas daripada BMW Credit Malaysia.

Bayaran bulanannya bermula RM1,490 untuk BMW R nineT, RM1,190 bagi BMW R nineT Pure dan RM 1,290 untuk BMW R nineT Racer.

BMW R nineT Racer.
BMW R nineT Racer.

Info:

BMW R nineT

  • Menampilkan aspek kasual dan moden klasik
  • Dikuasakan enjin boxer.
  • Kotak gear enam kelajuan.
  • Penambahan indikator kelajuan berkembar dan alat pengesan pecutan pada komputernya.
  • Harga runcit (termasuk GST) RM101,900.

BMW R nineT Pure

  • Menampilkan rekaan roadster ringkas
  • Tangki minyak dan madgad didatangkan dalam kemasan kelabu (Catalano Grey)
  • Emblem BMW di tengah-tengah penutup mentol
  • Dilengkapi satu paparan LCD
  • Harga runcit (termasuk GST) RM82,900

BMW R nineT Racer

  • Gaya sebuah cafe racer
  • Inspirasi jentera 'old-school' yang sporty
  • Bahagian hadapan pendek dan fairing separuh
  • Sistem ekzos besi tahan karat
  • Harga runcit (termasuk GST) RM88,900
Berita Harian X