Selasa, 27 Jun 2017 | 4:20pm
Model Moto Guzzi V9 Bobber.
Model Moto Guzzi V9 Bobber.

Rancang Malaysia hab pemasaran Moto Guzzi

Model Moto Guzzi V7 III Anniverario e dan Moto Guzzi V7 700 1967.
Model Moto Guzzi V7 III Anniverario e dan Moto Guzzi V7 700 1967.

KUALA LUMPUR: DIDI Resources Sdn Bhd, pengimport dan pengedar rasmi baharu motosikal jenama Motto Guzzi di Malaysia merancang menjadikan Malaysia sebagai hab pemasaran jenama motosikal Itali itu di ASEAN.

Pengurus Besarnya, C W Juan, berkata ia sebagai perancangan jangka panjang syarikat berkenaan.

Susulan itu, beliau berkata, DIDI Resources dan syarikat induk Piaggio Asia Pacific akan meneroka potensi pemasangan tempatan (CKD) Moto Guzzi sekali gus mengembangkan jenama yang sudah bertapak di Malaysia sejak 2012.

"Semestinya kita memiliki perancangan untuk model CKD Moto Guzzi untuk beberapa tahun akan datang kerana jenama terkemuka dalam segmen premium dan klasik ini memiliki potensi untuk berkembang di Malaysia dan negara ASEAN," katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi DIDI Resources, Rewi Hamid Bugo, berkata syarikat itu sudah melabur RM5 juta untuk membangunkan pusat gaya hidup Moto Guzzi yang dikenali sebagai Gasket Alley yang terletak di Petaling Jaya.

Katanya, pusat yang bakal dilancarkan pertengahan Julai ini yang berkeluasan 22,000 kaki persegi itu bakal menempatkan pelbagai komponen termasuk kafe dan bar, kedai gunting rambut, kedai cenderahati, bilik pameran Moto Guzzi dan motosikal custom (ubahsuai), Zero Engineering.

"Kami akan mewujudkan pusat 3S (pusat jualan, servis dan alat ganti) motosikal itu bagi memastikan kira-kira 200 pemilik Moto Guzzi di Malaysia terus mendapat perkhidmatan sewajarnya," katanya.

Pengurus Besar DIDI Resources Sdn Bhd, C W Juan. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Pengurus Besar DIDI Resources Sdn Bhd, C W Juan. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

DIDI Resources akan dinamakan sebagai secara rasmi sebagai pengimport dan pengedar Moto Guzzi pada satu majlis pada pertengahan bulan depan ini.

Pada Mei lalu, syarikat itu turut memperkenalkan Zero Engineering Motorcycles iaitu jenama motosikal custom di bawah PLOT Inc yang menghasilkan model Type 5 hingga Type 9.

Sebelum ini, Moto Guzzi dibawa masuk oleh sebuah syarikat tempatan bermula 2012 dan ia berakhir dua tahun lalu.

"Pengenalan semula Moto Guzzi di Malaysia adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian memandangkan kami membawakan kepada peminat motosikal pilihan dan jenama yang terbaik dari Itali," tambah Rewi. Sementara itu, Juan berkata, DIDI Resources merancang membawa masuk dua model baharu dengan enam varian tahun ini.

"Kita akan bawa masuk model V7 dengan empat varian dan V9 dengan dua varian yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Itali," jelasnya.

Juan bagaimanapun enggan mengulas mengenai jangkaan harga bagi kedua-dua model berkenaan.

Info: DIDI Resources adalah syarikat Bumiputera dari Sarawak

Berita Harian X