Ahad, 23 Julai 2017 | 6:43pm
Triumph Street Scrambler. - Foto Eizairi Shamsudin
Triumph Street Scrambler. - Foto Eizairi Shamsudin
Triumph Street Scrambler. - Foto Eizairi Shamsudin

Scrambler Retro Triumph


REKA bentuk klasik, tetapi lengkap komponen teknologi terkini. - Foto Eizairi Shamsudin

SCRAMBLER amat popular di Malaysia pada era 70-an dan awal 80-an. Jika disingkap, kemunculan Scrambler adalah bermula di England pada akhir 1920-an. Ketika itu, kegilaan remaja bermotosikal adalah berlumba dari lokasi pertama ke lokasi kedua dengan apa juga cara.

Tiada peraturan, kelajuan jadi keutamaan. Pelumba perlu menamatkan perlumbaan sepantas mungkin sama ada menerusi jalan bertar mahupun jalan lasak, menakluki apa juga rupa bumi.

Ketika belum ada pengeluaran secara komersial motosikal lasak, mereka mengubah suai model motosikal lazim jalan raya kepada motosikal yang mampu scramble atau meredah padang rumput, pasir, lumpur dan anak sungai.

Pengeluaran motosikal lasak atau dirt bike secara komersial hanya bermula pada era 1960-an. Antara model yang popular diubahsuai adalah Triumph TR6 Trophy, yang kerap memenangi perlumbaan pada era 1950-an dan 1960-an.

Mengadaptasi tempoh gemilang itu, Triumph memperkenalkan semula model Street Scrambler pada 2006 dengan enjin Bonneville 865cc, sebelum dipertingkatkan lagi pada model 2017 dengan enjin 900cc.


STREET Scrambler 2017 dikuasakan enjin Bonneville 900cc. - Foto Eizairi Shamsudin

Berteknologi terkini

Berpeluang menunggang uji model terbaharu, tidak dapat dinafikan Triumph sememangnya unggul dalam mengeluar model motosikal berkonsepkan klasik, tetapi lengkap dengan komponen berteknologi terkini. Ia disembunyi rapi bagi mengekalkan bentuk retro.

Street Scrambler 2017 dibangunkan berasaskan platform Street Twin dengan enjin silinder berkembar sebaris 900cc SOHC, sama seperti model Street Cup, dengan beberapa pengubahsuaian.

Enjin penyejukan cecair ini mempunyai tork yang lebih tinggi pada rpm rendah. Tork maksimum adalah 80nm pada rpm 2,850. Walaupun Street Scrambler adalah lebih kepada street berbanding scrambler, namun ketika mencuba di laluan lasak dan berpasir, ia kekal mudah dikawal meskipun dengan berat mencecah 200 kilogram (kg).

Mudah dikawal

Tunggangan di kawasan bandar dan jalan luar bandar adalah menyeronokkan.

Suspensi tinggi dan hendal yang lebar menjadikannya mudah dikawal dan selesa, meskipun melalui jalan sempit dan mencabar.

Street Scrambler walaupun penulis pernah memulas pendikit sehingga 180 kmj, namun pastinya ia bukan motosikal untuk ditunggang laju, tetapi lebih secara santai dan bersahaja atau mungkin mirip tunggangan supermoto.

Paling menarik, ia mencuri perhatian ramai ketika dalam perjalanan, susulan reka bentuk retro yang unik. Tidak dapat dinafikan, Street Scrambler adalah model yang paling penulis gemari dalam barisan Street Twin.

Kesimpulannya, ia stylo, mudah dikawal, lasak serta sesuai juga dijadikan tunggangan harian ke tempat kerja.

Jika anda peminat motosikal klasik dengan reka bentuk sepanjang zaman, Street Scrambler adalah antara model yang wajar dipertimbangkan.


Triumph Street Scrambler. - Foto Eizairi Shamsudin

Spesifikasi:

Harga: RM65,900

Enjin: 900cc SOHC piston berkembar selari, sejukan cecair, 8 injap

Kuasa: 55PS / 54bhp (40.5 kW) @ 6,000 rpm

Tork: 80 Nm @ 2,850 rpm

Komponen tambah nilai: Kaliper piston berkembar Nissin; ABS boleh laras; Kawalan Cengkaman (TC) boleh laras; Ride By Wire; Torque-Assist Clutch; Immobiliser; Lampu belakang LED; Soket USB; Komputer Perjalanan.

Kotak gear: 5-kelajuan

Ketinggian: 790 mm

Jarak roda: 1446 mm

Berat: 206 kg

Kapasiti tangki: 12l

Berita Harian X