Selasa, 8 Ogos 2017 | 7:31pm
BMW R1200GS Adventure
BMW R1200GS Adventure
BMW G310R
BMW G310R
BMW S1000R.
BMW S1000R.

BMW Motorrad Malaysia perkenal 3 motosikal premium baharu

CYBERJAYA: BMW Motorrad Malaysia (BMW Motorrad) bakal memperkenalkan tiga motosikal premium - BMW G310R serba baharu, BMW S1000R dan BMW R1200GS Adventure baharu pada Pusingan Kelayakan BMW Motorrad GS Trophy 2017 Malaysia Asia Tenggara, hujung minggu ini.

Pertandingan motosikal kembara bertaraf dunia itu akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Litar Motocross Sepang.

Seorang pemenang akan dipilih daripada 40 peserta dan beliau akan mewakili negara bersama dua lagi penunggang sebagai sebahagian daripada pasukan Asia Tenggara dalam pertandingan BMW Motorrad International GS Trophy di Mongolia, tahun depan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, BMW Motorrad berkata pertandingan itu juga menampilkan enam peserta dari Singapura yang bersaing untuk tiga tempat dalam pusingan Kelayakan BMW Motorrad GS di Thailand, bulan depan.

Katanya, bagi model BMW G310R serba baharu, ia menampilkan prestasi dinamik penuh kuasa dan menyerlahkan karakter sebenar sebuah roadster BMW.

"Ia adalah model motosikal paling tepat digambarkan sebagai pragmatik. Motosikal premium daripada BMW itu menawarkan apa yang diperlukan untuk prestasi dinamik dan keselesaan, sama ada ketika menunggang di bandar atau laluan kampung," katanya.

BMW Motorrad berkata, roadster baharu itu mengetengahkan enjin silinder tunggal dengan penyejukan cecair, empat injap, dua overhead camshafts dan pancitan bahan elektronik bersesaran 313cc.

Kapasiti 313cc itu adalah hasil daripada gerek 80 milimeter dan lejang 62.1 milimeter.

Menurut BMW Motorrad, untuk model BMW S1000R baharu, ia mengetengahkan enjin empat silinder sebaris bersesaran 999cc.

"Ia dihasilkan untuk memenuhi semua piawaian EU4, jentera baharu BMW Motorrad itu mempunyai kuasa 121kW (165 hp) pada 11,000rpm (sebelum ini 118kW (160 hp) pada 11,000rpm), 3kW (5 hp) lebih tinggi berbanding sebelumnya.

"Ia juga dua kilogram (kg) lebih ringan (sebelum ini 207kg, sekarang 205kg dengan kuasa maksimum (DIN). Ini bermakna peningkatan ke atas muatan sebanyak dua kilogram.

"Pembangunan seterusnya pada enjin termasuklah pengambilan optimum dan bunyi ekzos. Dengan penggunaan peredam HP titanium sebagai standard, S1000R baharu kini menghasilkan bunyi yang lebih mengujakan," katanya.

BMW Motorrad berkata, bagi model BMW R1200GS Adventure baharu pula, ia menggunakan enjin boxer dengan sistem penyejukan cecair dan dibangunkan dengan satu peredam getar pada aci output transmisi.

"Ciri baharu yang ada pada model berkenaan termasuklah satu pemilih gerak gelendong yang telah ditambah baik, aci transmisi, galas aci transmisi dan lampu indikator OBD pada kokpit," katanya.

Pengunjung boleh mengambil peluang untuk menunggang uji pelbagai jenis model motosikal BMW Motorrad Malaysia yang disediakan sepanjang acara berlangsung.

INFO:

Harga yang telah dipinda (di atas jalan tanpa insurans, termasuk 6% GST) bagi motosikal baharu BMW Motorrad ialah:

  • BMW G310R: RM26,900.00
  • BMW S1000R: RM92,900.00
  • BMW R1200GS Adventure: RM116,900.00
Berita Harian X