Khamis, 10 Ogos 2017 | 10:56am
WAKIL media bergambar bersama jentera Mercedes-AMG PETRONAS yang menjuarai kejuaraan F1 musim lalu di ibu pejabat pasukan itu di Brackley, UK.
WAKIL media bergambar bersama jentera Mercedes-AMG PETRONAS yang menjuarai kejuaraan F1 musim lalu di ibu pejabat pasukan itu di Brackley, UK.
WAKIL media diberi penerangan ketika lawatan ke ibu pejabat dan kilang Mercedes-AMG PETRONAS.
WAKIL media diberi penerangan ketika lawatan ke ibu pejabat dan kilang Mercedes-AMG PETRONAS.

F1 bantu 'jaja' PETRONAS ke seluruh dunia

SUKAN Formula 1 (F1) sudah lama diakui sebagai cabang sukan pemotoran paling berprestij, selain kehendak teknikal serta teknologi yang diperlukan juga memerlukan semua pihak terbabit memberikan produk terbaik.

Ia juga medan dan platform penting bagi setiap produk untuk mendapat liputan terbesar dalam siaran media global bagi kepentingan pemasaran jenama menerusi pelbagai logo penaja yang menghiasi setiap jentera pasukan bertanding.

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berbangga kerana syarikat petroleum negara, PETRONAS turut terbabit dalam F1 selaku penaja utama yang membawa nama PETRONAS dan Malaysia dikenali di pentas antarabangsa, selain selaku pembekal minyak enjin dan bahan api yang digunakan ketika perlumbaan.

Selepas lebih 20 tahun pembabitan dalam F1, nama PETRONAS telah menjadi antara jenama pengeluar petroleum utama dunia sehinggakan telah disenaraikan di dalam Fortune 500, senarai syarikat terkemuka dunia.

Pembabitan PETRONAS dalam F1 bermula sejak 1995 bersama pasukan Red Bull Sauber Petronas F1, BMW Sauber F1 (2005) dan kini bersama pasukan Mercedes-AMG PETRONAS sejak 2010.

Apa yang diperoleh PETRONAS hasil dari penajaan terbabit? Pemindahan teknologi adalah satu daripadanya, namun manfaat paling besar adalah dari aspek penjenamaan, selain menjadi medan menguji produk terutamanya berkaitan minyak pelincir dan bahan bakar.

Baru-baru ini, penulis dijemput menyertai program PETRONAS F1 Media Familiarisation bertujuan mendapatkan gambaran lebih menyeluruh terhadap usaha serta komitmen PETRONAS terhadap sukan permotoran nombor satu dunia itu.

Program itu memberi peluang kepada penulis dan beberapa wakil media melawat makmal dan kemudahan milik PETRONAS untuk F1 serta berinteraksi dengan beberapa pegawai kanan Petronas Lubricants International (PLI) yang menjadi tenaga penting untuk memastikan prestasi pasukan Mercedes-AMG PETRONAS sentiasa di tahap terbaik.

Kami turut dibawa ke United Kingdom (UK) untuk menonton perlumbaan F1 Grand Prix Britain di Silverstone, United Kingdom (UK), yang turut disertai lawatan ke ibu pejabat pasukan Mercedes-AMG PETRONAS di Brackley dan Mercedes-AMG High Perfomance Powertrain di Brixworth, yang menjadi tonggak penting kejayaan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS muncul juara kategori pengeluar F1 untuk tiga tahun berturut-turut (2014-2016).

Makmal litar Petronas

Untuk memastikan kereta lumba F1 Mercedes-AMG PETRONAS sentiasa mendapat bantuan teknikal terbaik, PETRONAS menyediakan kemudahan makmal di litar di setiap perlumbaan.

Ia adalah sebuah bilik kecil yang lengkap dengan pelbagai peralatan moden dan makmal itu amat penting bukan saja kepada pasukan Mercedes-AMG PETRONAS, tetapi juga kepada pasukan lain yang menggunakan enjin sama yang mereka bekalkan.

Peraturan F1 mewajibkan semua bahan bakar yang digunakan untuk perlumbaan mestilah diluluskan pihak Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) sebelum musim perlumbaan bermula, dan spesifikasi itu harus sama di setiap perlumbaan.

Jika pemeriksaan mendapati terdapat perbezaan, pasukan yang melakukan kesalahan boleh dikenakan penalti dan di sinilah kepakaran PETRONAS penting untuk memastikan kejayaan pasukan, selain menguji keupayaan dan ketahanan produk baharu yang dihasilkan.

"F1 sudah lama diakui sebagai cabang sukan pemotoran yang tertinggi dan kehendak teknikal serta teknologi yang diperlukan juga mendesak semua pihak terbabit memberikan produk terbaik.

"Semuanya perlu dilakukan dengan tepat dan sangat pantas. Bagi PLI sendiri, antara produk baharu yang direka khusus hasil daripada pembabitan dalam F1 adalah cecair penyejuk (coolant) sebatian mineral untuk pendinginan pek bateri sistem ERS," kata Prinsipal (Teknologi Bahan Bakar) PETRONAS, Chan Ming Yau.

Beliau berkata, dalam membuat formulasi pelincir ataupun petrol, secara dasarnya pelincir atau petrol bagi F1 dan kenderaan harian adalah sama, tetapi cara ia diadun menjadikannya berbeza.

"Pelincir yang digunakan pastinya perlu memberikan perlindungan yang terbaik terhadap enjin. Tidak cukup dengan itu, minyak yang sama perlu membantu enjin memberi output kuasa yang terbaik.

"Itulah yang PETRONAS bekalkan dalam produk-produk kami seperti Petronas Syntium, Petronas Primax, dan Petronas Tutela," katanya.

Ibu pejabat Mercedes-AMG PETRONAS di Brackley

Terletak kira-kira 100 kilometer di utara London, ibu pejabat pasukan Mercedes-AMG PETRONAS di Brackley melakukan kerja belakang tabir pasukan F1.

Berkeluasan 60,000 meter persegi, ia asalnya adalah lokasi pasukan Brawn GP yang menjuarai Kejuaraan F1 musim 2009 sebelum diambil alih oleh Mercedes-Benz.

Beroperasi sejak 1999, mereka menyediakan kemudahan moden untuk rekaan dan pembangunan jentera F1 termasuk terowong angin yang diberi pembaharuan pada 2012 untuk ujian aerodinamik.

Beroperasi 24 jam sehari membabitkan lebih 600 kakitangan dengan lima syif, lebih 200 jurutera melakukan rekaan kenderaan perlumbaan dengan 250,000 jam khusus untuk menghasilkan rekaan kereta lumba F1 dan 200,000 jam seterusnya pula untuk proses penghasilan.

Di Brackley, sepasukan jurutera akan berkomunikasi secara dalam talian dengan kru di setiap lokasi perlumbaan pasukan itu di seluruh dunia dalam menganalisis prestasi enjin dan teknikal, yang mana mereka dibantu sistem yang boleh memuat turun segala maklumat itu dalam tempoh lima saat sahaja.

Mercedes AMG High Perfomance Powertrain di Brixworth

Pusat penghasilan unit kuasa (powertrain) ini terletak di Brixworth yang memulakan operasi sejak 1984 di bawah syarikat Ilmor Engineering Ltd, adalah nadi utama setiap jentera perlumbaan yang bersaing dalam F1.

Pada 2002 ia dijenamakan sebagai MercedesIImor Ltd dan tiga tahun kemudian diambil alih oleh Daimler AG dan beroperasi menggunakan nama Mercedes-Benz High Performance Engines Ltd.

Sejak 1995, lokasi ini bertanggungjawab menghasilkan setiap enjin Mercedes-Benz yang bersaing dalam perlumbaan F1 dengan kini kira-kira 600 jurutera terbabit dalam penghasilan rekaan serta menguji teknologi unit kuasa hibrid pasukan seperti Mercedes-AMG PETRONAS, Williams F1, Lotus F1 dan Sahara Force India F1.

Daripada peringkat konsep, rekaan, pembuatan dan pemasangan, ujian dan analisis enjin dilakukan di sini dengan teras utama iaitu kualiti, kecemerlangan teknikal dan kelajuan serta fleksibiliti sebagai objektif utama mereka.

Untuk pasukan Mercedes AMG PETRONAS, sebanyak lima enjin berkuasa 1.6 liter dicas turbo V6 hibrid disediakan sepanjang musim yang akan digunakan mengikut keperluan sama ada untuk sesi latihan atau perlumbaan.

INFO
PETRONAS dalam sukan permotoran

  • Bermula dengan penajaan pasukan rali tempatan yang bersaing di peringkat tempatan, serantau dan antarabngsa.
  • Pembabitan menerusi penajaan PETRONAS Motorsport itu kemudian dikembangkan membabitkan pelbagai sukan permotoran terutama F1.
  • Selain sebagai inisiatif pembinaan imej dan jenama, penajaan oleh PETRONAS Motorsport bertindak sebagai platform terbukti untuk memupuk dan mengembangkan keupayaan sumber manusia dan teknologi PETRONAS terutama dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk pelincir dan bahan bakar PETRONAS.
Berita Harian X