Khamis, 10 Ogos 2017 | 8:19pm
DARI kiri, Fatah Amin, Janna Nick, Diana Daniale dan Shukri Yahya akan berentap untuk mempamerkan kebolehan masing-masing pada acara Toyota GAZOO Racing (TGR) Festival. - Foto Luqman Hakim Zubir
DARI kiri, Fatah Amin, Janna Nick, Diana Daniale dan Shukri Yahya akan berentap untuk mempamerkan kebolehan masing-masing pada acara Toyota GAZOO Racing (TGR) Festival. - Foto Luqman Hakim Zubir

Selebriti berentap pamer kemahiran memandu di TGR

SHAH ALAM: Jika anda peminat sukan permotoran atau ingin melihat kelibat selebriti dari dekat mahupun menggemari lonjakan adrenalin dari aksi pemanduan drift, pastikan datang awal ke Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang hujung minggu ini supaya tidak terlepas semua itu di acara Toyota GAZOO Racing (TGR) Festival.

Dijangka ramai pemerhati dan peminat akan turut hadir sepanjang dua hari acara ini berlangsung.

Pelbagai aksi mencabar dari perlumbaan yang akan berlangsung, ditambah dengan penampilan istimewa artis popular tempatan, makanan dan juga deretan aktiviti lain yang menawarkan hadiah istimewa untuk dimenangi menanti lebih daripada 10,000 pengunjung yang dijangka hadir untuk sama-sama memeriahkan festival berkenaan.

Kemuncak acara pastinya perlumbaan julung kali Vios Challenge yang membabitkan 40 Toyota Vios dengan spesifikasi identikal yang akan berlumba di dalam litar, merangkumi tiga kategori - dengan tempoh 25 minit bagi setiap perlumbaan - yang akan menguji kemahiran pemandu.

Aksi lumba yang paling dinanti-nantikan sudah tentu bagi Promotion Category, di mana pemandu selebriti seperti Fattah Amin, Shukri Yahaya, Diana Danielle, Janna Nick, Geraldine Gan, Danny Koo, Venice Min dan Shawn Lee akan berentap untuk mempamerkan kebolehan masing-masing.

Vios Challenge terdiri daripada dua kategori lain; Sporting Category yang menampilkan 18 orang pemandu, di mana ia turut akan disertai oleh pelumba yang menamatkan pembelajaran dari Vios Challenge Racing School.

Seterusnya ialah bagi Super Sporting Category yang membabitkan penyertaan pemandu ternama tanah air, termasuk Boy Wong, Kenny Lee, James Veerapan, Syafiq Ali, Mark Darwin, Mitchel Cheah, Rocky Seow, Akina Teo dan Raja Drift Malaysia, Tengku Djan Ley yang akan turut sama mempamerkan kehandalan mereka.

Bagi menghangatkan lagi suasana, juara Drift D1 serta juara Drift Muscle dari Jepun, Masato Kawabata dan Hideyuki Fujino akan membuat penampilan khas ketika Toyota GAZOO Racing Festival ini.

Dibawakan oleh penaja utama Toyo Tires, pasangan pemandu itu akan mempamerkan set kemahiran pemanduan yang membantu meletakkan mereka sebagai juara menggunakan jentera Toyota 86.

Kawabata ketika ini adalah pemegang Guiness World Record bagi pemandu drift paling laju dengan catatan 304.96 km/j.

Pelbagai hiburan lain akan menanti pengunjung muda, termasuk persembahan tarian, sorakan, artis berkumpulan, permainan-permainan santai serta penampilan oleh jemputan khas dengan peluang untuk bergambar bersama mereka.

Bagi peminat tegar selebriti, ini adalah acara yang tidak boleh dilepaskan kerana terdapat pelbagai aktiviti bersama peminat akan berlangsung.

Sepanjang hujung minggu ini, pengunjung berpeluang untuk mendekati lapan selebriti yang turut mengambil bahagian di dalam perlumbaan Vios Challenge untuk "wefie" bersama mereka, terutama ketika grid-walk dan sesi bertemu peminat.

Pemenang bertuah juga mungkin akan dipilih untuk menaiki kereta lumba Vios Challenge yang dipandu oleh selebriti kegemaran mereka di sekitar litar Batu Kawan.

Media Prima pula akan membawakan bas jelajah Drama Sangat berserta selebriti yang terbabit ke lokasi. Terdapat beberapa sesi di mana peminat boleh berjumpa dengan barisan selebriti berkenaan dan berpeluang mendapatkan cenderahati eksklusif.

Bukan hanya bintang-bintang selebriti yang akan menjadi daya tarikan; pengunjung juga jangan lepaskan peluang untuk mendekati model SUV kompak terbaru, Toyota C-HR yang akan membuat penampilan umum pertama di Utara sepanjang acara ini berlangsung.

Model ini akan dipamerkan bersama model lain sedia ada, memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dari dekat dan ikut serta dalam sesi pandu uji.

Promosi 'Beli & Menang' juga sah dan akan ditawarkan sepanjang acara ini berlangsung.

Sehubungan itu, pengunjung digesa datang awal untuk menempah model Toyota idaman dan anda berpeluang untuk memenangi sebuah Toyota Vios Sport Edition yang diilhamkan daripada kereta lumba Vios Challenge atau kunjungan ke Tokyo Motorshow.

Masuk adalah percuma bagi semua pengunjung yang hadir ke Toyota GAZOO Racing Festival hujung minggu ini. Acara akan bermula dari 12 tengah hari hingga 8 malam.

Untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan Vios Challenge, layari laman web Toyota GAZOO Racing Malaysia, atau ikuti perkembangan di akaun Facebook atau Instagram yang disediakan.

Berita Harian X