Isnin, 21 Ogos 2017 | 9:00am

Motto Guzzi V9 Bobber hebat


MODEL baharu selepas hak import, pengedaran bertukar tangan.

MOTO Guzzi membuat penampilan semula di Malaysia selepas hak import dan pengedaran bertukar tangan kepada Didi Resources Sdn Bhd apabila tampil dengan model terbaru, V9 Bobber.

V9 Bobber ditawarkan pada harga termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) RM74,900 sekali gus menyertai model V9 Roamer, yang dijual pada harga RM73,900.

Model yang diimport dari Itali ini menggunakan enjin dua silinder V 853 cc rekaan baharu yang mampu menghasilkan 55 kuasa kuda (hp) pada 6,250 rpm dan tork 62Nm pada 3,000 rpm.

Kuasa ini disampaikan kepada tayar belakang melalui kotak gear enam kelajuan dan sistem syaf yang turut didatangkan dengan rim bersaiz 16 inci dibalut dengan tayar Continental Milestone.

Melengkapkan sistem brek V9 Bobber adalah Brembo, dengan cakera tunggal di depan dan belakang.


V9 Bobber ditawarkan pada harga RM74,900.

Dilengkapi sistem MGTC

Antara ciri menarik adalah Sistem ABS (standard) yang digabungkan dengan Moto Guzzi Traction Control (MGTC).

Dengan berat 199 kilogram sama seperti V9 Roamer, V9 Bobber ini ditampilkan dengan tangki bahan api 15 liter yang dilengkapi lencana burung helang jenama itu.

Kadar kelajuan ditunjukkan melalui meter jenis analog sementara maklumat lain seperti kitaran rpm, kedudukan gear, odometer dan lampu tahap merah rpm dipaparkan melalui skrin LCD.

Siri V9 daripada Moto Guzzi ini tidak lengkap tanpa aksesori pilihan lain. Antara aksesori pilihan adalah Moto Guzzi Multimedia Platform (MGMP).

Fungsi ini membolehkan penunggang menyambungkan motosikal dengan aplikasi telefon pintar, seterusnya mengetahui maklumat berkenaan motosikal.

V9 Bobber ditawarkan dengan dua warna iaitu Nero Massiccio (kuning) dan Grigio Sport (kelabu).


MELENGKAPKAN sistem brek V9 Bobber adalah Brembo, dengan cakera tunggal di depan dan belakang.

Info:
Motto Guzzi V9 Bobber

  • Harga termasuk GST RM74,900
  • Enjin 90° V-twin, 4-lejang
  • Kapasiti 853 cc
  • Kuasa maksimum 40.44 kW (55 hp) @ 6,250 rpm
  • Tork 62 Nm @ 3,000 rpm
  • Kotak gear 6-kelajuan
  • Sistem elektrik: voltan 12 V; bateri 12V - 18 Ah
  • Berat kering 199kg
Berita Harian X