Khamis, 14 September 2017 | 10:53pm
VERSI menarik sedan Volkswagen. - Foto Aswadi Alias
Walaupun diberikan beberapa penambahan, kedua-dua varian Passat dijual pada harga lebih rendah berbanding ketika dilancarkan. - Foto Aswadi Alias

Passat Plus istimewa

VOLKSWAGEN Passat varian asas dan pertengahan kini diberikan versi istimewa dengan ciri baharu yang lebih sporty digelar Passat Trendline Plus dan Comfortline Plus.

Bagi Passat Trendline Plus, ia menerima tempat duduk balutan kulit dan juga filem penapis haba selain rim 'Aragon' bersaiz 16-inci pada Trendline sebelum ini digantikan dengan unit yang lebih besar iaitu 'Istanbul' bersaiz 17-inci.

Semua aksesori tambahan ini dinilai pada harga RM8,000.

Bagi varian Comfortline Plus pula, ia turut diberikan tempat duduk dengan balutan kulit serta filem penapis haba manakala rim asal 'Istanbul' bersaiz 17-inci pula kini digantikan dengan rim 'Monterey' bersaiz 18-inci. Nilai untuk kesemua aksesori ini adalah RM12,000.

Ciri lain, Trendline dan Comfortline masih lagi mengekalkan kelengkapan lain yang sama seperti sebelum ini.

Varian Trendline hadir dengan ciri standard seperti lampu kabus hadapan dan belakang bersama lampu belakang LED, skrin sesentuh warna 'Composition' lima inci, skrin paparan informasi pelbagai warna, stereng dengan pelbagai butang kawalan, butang penghidup enjin, cermin sisi boleh lipat, pengesan jarak Park Distance Control (PDC) depan dan belakang, pengesan kecergasan Driver Alert System, lampu/pengelap cermin automatik serta pendingin hawa Climatronic tiga-zon.


VOLKSWAGEN Passat Plus. - Foto Aswadi Alias


VOLKSWAGEN Passat Plus. - Foto Aswadi Alias

Kuasa dikekalkan

Bagi Comfortline pula, ia ditambah dengan lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED sepenuhnya, sistem kunci pintar 'KESSY', tempat duduk hadapan larasan berkuasa 12 hala dengan sistem memori dan urut, skrin sesentuh 6.5 inci, Park Assist dan kamera undur.

Tiada perubahan unit janakuasa diberikan di mana kedua-dua varian berkenaan masih digerakkan dengan 1.8 TSI turbo berkuasa 180 PS/250 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik klac berkembar DSG tujuh kelajuan.

Walaupun diberikan beberapa penambahan, kedua-dua varian Passat ini dijual pada harga lebih rendah berbanding ketika dilancarkan sebelum ini, di mana Trendline Plus berharga RM144,990 (RM159,990 sebelum ini), manakala Comfortline Plus dijual pada harga RM169,980 (RM179,990 sebelum ini).

Setiap pembelian Passat akan dilindungi jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Istimewa untuk pelanggan yang membeli dan mendaftar Passat mereka sebelum 30 September ini, layak menikmati servis penyelenggaraan percuma selama lima-tahun atau 75,000 kilometer dan juga kadar faedah serendah 0.88 peratus untuk skim pembiayaan dalam tempoh lima hingga sembilan tahun.

Info:
Harga atas jalan tanpa insuran

  • Passat Trendline Plus RM144,990
  • Passat Comfortline Plus RM169,980
235 dibaca
Berita Harian X