Jumaat, 15 September 2017 | 7:00am
KNECHTEL (kanan) dan Faisal pada pelancaran Ferrari 812 Superfast di Zebra Square, Kuala Lumpur.

Model terkini paling pantas

MENDENGAR pada kuasanya, ia amat menggerunkan. Apa tidaknya 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 2.9 saat, manakala 0-200 km/j (7.9 saat).

Penantian untuk model Ferrari paling pantas, Ferrari 812 Superfast akhiri berakhir apabila NAZA Italia, pengimport dan pengedar rasmi jenama Ferrari di Malaysia, memperkenalkan jentera paling berkuasa Ferrari untuk pasaran tempatan.

Ferrari 812 Superfast adalah model supercar terbaru dengan enjin di bahagian depan V12 yang mula diperkenalkan pada Pameran Automotif Antarabangsa Geneva, Mac lalu.

Model dengan 800 kuasa kuda (hp) membuka era baharu dalam sejarah enjin 12 silinder jentera Itali dengan kelajuan maksimum 340 kilometer sejam (km/j), manakala pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 2.9 saat dan 0 hingga 200 km/j (7.9 saat).

Ferrari 812 Superfast ditawarkan pada harga asas tidak termasuk duti dan pilihan ubahsuai RM1,578,800 seunit.

Ketua Pegawai Operasi NAZA Italia Sdn Bhd, Farid Sulaiman, berkata model terbaik dari Ferrari itu sudah mendapat 10 tempahan sebelum diperkenalkan lagi.

"Atas kepercayaan Ferrari, Malaysia menjadi pasaran pertama memperkenal 812 Superfast di Asia Tenggara dengan kami akan menerima unit pertama pada suku kedua tahun depan," katanya kepada media selepas pelancaran model itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Guna enjin V12

Ferrari 812 Superfast diperkenalkan kepada media oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan NAZA World Group of Companies, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Hab Asia Barat Ferrari, Dieter Knechtel.

Ferrari 812 Superfast menggunakan enjin V12 6.5 liter yang menjadi penanda aras bagi segmen kereta sport enjin depan yang mencapai kuasa maksimum pada 8,500 rpm.

Tork puncak bagi model ini adalah 718Nm pada 7,000 rpm dan 80 peratus daripadanya boleh dicapai pada 3,500 rpm.

Farid berkata, permintaan ke atas model Ferrari kekal memberangsangkan meskipun dalam keadaan ekonomi yang mencabar pada masa ini.

"NAZA Italia akan kekal fokus dalam menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan. Kami akan terus mengembangkan pusat pengedaran dan bilik pameran selain memperkenalkan lebih banyak model untuk pasaran Malaysia," katanya.

Setakat September lalu, NAZA Italia sudah menjual 22 unit pelbagai model Ferrari.

Sejak menjadi pengimport dan pengedar sah Ferrari di Malaysia pada 2009, NAZA Italia sudah menjual 250 unit Ferrari.

Info:
Ferrari 812 Superfast

  • Harga asas tidak termasuk duti dan pilihan ubahsuai RM1,578,800 seunit
  • Enjin V12 6.5 liter
  • Transmisi 4WS/ 7-kelajuan, F1 DCT/ E-Diff3
  • 800 hp @ 8,500 rpm, tork 718Nm @ 7,000 rpm
  • Pecutan maksimum 340 km/j
  • 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat
  • 0-200 km/j dalam masa 7.9 saat
Berita Harian X