Khamis, 19 Oktober 2017 | 8:00am

Tech Pack Audi A4 menonjol

DUA varian serlah karakter lebih menarik.

AUDI Malaysia memperkenalkan varian Tech Pack bagi model A4 di Malaysia yang tampil dengan karakter lebih menonjol.

Bagi varian 1.4 TFSI, ia ditawarkan pada harga atas jalan tidak termasuk insurans RM243,900 yang turut merangkumi pakej Tech Pack berharga RM25,000.

Menerusi bayaran tambahan itu, 1.4 TFSI akan menerima Audi Virtual Coockpit dengan skrin 12.3 inci, sistem maklumat dan hiburan MMi Navigaton Plus, paparan seperti telefon pintar, Audi Connect dan kamera undur.

Apa yang menarik, varian 2.0 TFSI yang sebelum ini hanya ditawarkan dengan pakej Tech Pack atau S Line, kini boleh didapati dengan kedua-dua pakej serentak menyaksikan harga varian ini menjadi RM298,900.

Dengan dua pakej ini, ia menjadikan 2.0 TFSI lebih garang dengan bampar rekaan agresif, rim 18 inci, kemasan tepi pintu berlampu, tempat duduk hadapan kulit dan Alcantara, serta roda stereng S Line.

Enjin kekal berkuasa

Selain itu, varian ini juga mendapat sentuhan dalaman Tech Pack iaitu Audi Virtual Cockpit dengan skrin 12.3 inci, sistem maklumat dan hiburan MMi Navigaton Plus, paparan seperti telefon pintar, Audi Connect dan kamera undur.

Ia juga mendapat tambahan lampu utama Matrix LED (dengan penunjuk arah dinamik).

Bagi varian tertinggi, 2.0 TFSI quattro S Line Tech Pack, ia dijual pada harga RM334,900, iaitu tambahan RM20,000 berbanding harga asal RM314,900.

Varian ini sudah memang dilengkapi dengan kebanyakan ciri dalam Tech Pack, tetapi diberi tambahan lampu belakang Matrix LED dan sistem bunyi 3D Bang & Olufsen.

KOKPIT mewah dan lengkap berinformasi.

Guna enjin 2.0 liter

Meskipun mendapat banyak penambahbaikan, bahagian enjin untuk semua varian masih lagi sama, dengan varian 1.4 TFSI dikuasakan oleh unit empat silinder 1.4 liter turbo petrol berkuasa 150 kuasa kuda (hp) dan 250 Nm tork, manakala varian 2.0 TFSI dipacu oleh unit 2.0 liter berkuasa 190 hp dan 320 Nm tork.

Varian 2.0 TFSI quattro juga menggunakan enjin 2.0 liter, tetapi menghambur kuasa 252 hp dan 370 Nm tork.

Semua enjin ini dipadankan dengan kotak gear klac berkembar S Tronic tujuh kelajuan, dengan kuasa disampaikan kepada tayar hadapan, kecuali bagi model 2.0 TFSI quattro, yang mendapat sistem pacuan semua roda.

Dari aspek prestasi, varian 2.0 TFSI quattro boleh mencecah kelajuan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 5.8 saat diikuti dengan 7.3 saat oleh 2.0 TFSI dan 8.5 saat bagi 1.4 TFSI.

LAMPU belakang Matrix LED.

Info:
Harga pengenalan istimewa

  • RM224,900 - A4 1.4 TFSI Tech Pack (jimat RM19,000)
  • RM274,900 - A4 2.0 TFSI S Line + Tech Pack (jimat RM24,000)
  • RM314,900 - A4 2.0 TFSI quattro Tech Pack (jimat RM20,000).
Berita Harian X