Jumaat, 27 Oktober 2017 | 8:00am
TRIUMPH bangunkan DNA Bonneville warisan klasik.

Speedmaster ikon legenda British

TRIUMPH Motorcycles Ltd, pengeluar motosikal British memperkenalkan motosikal klasik moden baharu, Bonneville Speedmaster, ikon motosikal custom klasik British baharu.

Speedmaster baharu membina warisan klasik Triumph asli dengan semua DNA klasik daripada keluarga Bonneville dan gaya unik Bobber yang digabungkan untuk menjadi lebih praktikal dan serba boleh.

Model ikon terkini ini membawa satu lagi dimensi, sebuah Bonneville dengan gaya tersendiri yang lebih British klasik dan tahap spesifikasi yang lebih tinggi.

Triumph menekankan 'adat Inggeris' asli dan gaya santai, dengan tempat duduk versatil tunggal atau berkembar.

Pastinya, Speedmaster menawarkan pengendalian terbaik, selesa dan ergonomik dipacu sistem brek berkembar berkuasa Brembo dan suspensi berspesifikasi tinggi.

Dengan enjin 1,200 cc ia menghamburkan kuasa 77PS pada 6,100 rpm dan tork puncak 106Nm pada 4,000 rpm yang diiktiraf sebagai enjin dengan tork tinggi menerusi pelarasan Bobber.

Selain transmisi enam kelajuan dan klac, basah dan bantuan klac pelbagai plat, Speedmaster juga dikuasakan dengan pendikit ride-by-wire.

Klasik berteknologi

Meskipun dengan gaya klasik, Speedmaster turut menerima teknologi terkini termasuk lampu depan LED penuh dan 'penangan' lampu nyalaan siang yang mencetuskan keunggulan ikon British ini.

Selain itu, Speedmaster juga menerima teknologi keselamatan seperti kawalan traksi, bantuan klac tork, ABS, immobiliser dan butang tunggal untuk kawalan cruise sebagai ciri standard.

Tidak cukup dengan itu, Speedmaster yang menggunakan teknologi ride-by-wire juga berhubungan dengan mod tunggangan iaitu Road dan Rain bagi meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kawalan.

Speedmaster juga dilengkapi dengan sistem penyejuk cecair, mengurangkan pelepasan asap dan menawarkan transponder dalam lencana kunci premium Triumph.

Baru-baru ini, bintang Hollywood, Luke Evans memperkenalkan Speedmaster menerusi acara pembukaan Factory Visitor Experience Triumph baharu di Hinckley, United Kingdom.

Pelakon yang terkenal dengan membintangi filem seperti Fast & Furious, The Girl on th Train dan Beauty and the Beast itu menunggang Speedmaster di hadapan tetamu jemputan.

Info:
Triumph Bonneville Speedmaster

  • Enjin 1,200cc
  • 77PS @ 6,100 rpm dan tork puncak 106Nm @ 4,000 rpm
  • Transmisi enam kelajuan dan klac, basah dan bantuan klac pelbagai plat
  • Sistem ride-by-wire
  • Kawalan traksi, bantuan klac tork, ABS, immobiliser dan butang tunggal untuk kawalan cruise
Berita Harian X