Jumaat, 8 Disember 2017 | 7:00am

MTS 950 jentera hebat


PESONA, kuasa jangkaui tanggapan.

APABILA 'mengopi' pasal motosikal pilihan hati, sampai ayam jantan berkokok menjelang Subuh pun belum tentu habis. Mana tidaknya, keputusan menyunting jentera terbaik bukan percaturan mudah kerana ia mesti laju, senang menyelit, kena harganya dan berat pula janganlah sampai nak terputus urat apabila mahu mengalih tongkat.

Belum lagi cerita bab kaki tidak jejak tanah kerana masalah ini sering menghantui 'rider' yang mula mahu berjinak dalam dunia permotoran, namun mempunyai kekurangan faktor fizikal. Meskipun 'otai' sering kata, tukar motosikal macam salin baju ini asam garam seorang 'rider', tetapi ada yang berhasrat sebuah jentera sebagai peneman abadi.

Borak kosong yang lazim kedengaran di kedai kopi ini tidak berhenti berlegar di fikiran ketika Naib Presiden II Next Bike Sdn Bhd, Fazli Hisyam, berkata: "Jentera Ducati Multistrada 950 adalah My first, My Last, My Everything".


MTS 950 mampu meredah apa jua permukaan jalan.

Kapasiti 937cc

Bagi merasai sendiri pesona dan kehebatan jentera Itali yang mempunyai sesaran enjin 937cc berteraskan silinder L-Twin Testastretta ini, penulis dan enam lain rakan media dibawa menyertai perkhemahan Ducati Multistrada 950, kendalian Big Boys Adventure selama dua hari.

Merentas laluan sejauh 255 kilometer, iaitu dari ibu pejabat Ducati, Petaling Jaya ke Caravan Serai, Bentong, Pahang, sudah cukup memberi mukadimah terbaik untuk menyingkap sisi sebenar Multistrada 950 yang selama ini dikatakan 'adik' Multistrada 1200.

Cabaran yang ditempuh pada hari pertama tidak sukar kerana laluan dari Petaling Jaya-Genting hampir sinonim kepada penulis, namun rasa kekok menjinakkan jentera dengan kuasa kuda 113bhp ini sukar disangkal.

Menggunakan mod touring, 'kuda' merah ini melangkaui jangkaan awal penulis apabila selekoh panjang Lebuhraya Karak direntasi penuh bergaya, malah cengkaman tayar Pirelli Scorpion Trail II (depan 120/70, belakang 170/60) cukup 'menggigit'.

Saat pendikit diperah ketika menghampiri alur keluar selekoh memberi kuasa yang santai dan tidak keterlaluan, sekali gus menyuntik keyakinan penulis meneroka kemampuan Multistrada 950. Jentera seberat 205.7 kilogram (kering) ini seakan dibina dengan mempertimbangkan setiap citarasa terkini pengguna.

Melewati pondok pengawal pertama di kaki Genting, selekoh pendek menanti penunggang sebelum konvoi berhenti rehat di kawasan parkir, dekat susur keluar Kuil Chin Swee. Bagai sudah dijangka, padanan tayar, berat, ciri keselamatan dan rekaan jentera menjadikan tunggangan selama lapan minit menyusuri selekoh pendek ini ibarat 'kacang putih'.


DILENGKAPI pakej keselamatan Ducati, jentera Multistrada 950 kini menetapkan sistem ride-by-wire pada kedudukan Kawalan Cengkaman Ducati (DTC)-2, sistem brek anti-kunci (ABS)-1.

Selesai menjamah kudapan, perjalanan diteruskan ke hentian seterusnya, iaitu kedai aiskrim Kow Po, di pekan Bentong. Menghampiri selekoh keluar dari Lebuhraya Karak, aroma 'raja buah' sungguh menusuk kalbu, membuatkan penulis memberanikan diri menunggang sambil berdiri, kononnya nak menghidu bau durian yang menyengat hidung.

Disebabkan bar pemegangnya luas dan cukup tinggi kerana menepati spesifikasi jentera adventure, kebolehan menunggang dalam keadaan berdiri menjadi amat selesa, malah memberi kelebihan meninjau keadaan trafik secara lebih mudah.

Sistem ride-by-wire

Akhirnya konvoi tiba di lokasi kami bermalam yang dilitupi dusun buah dan jajaran anak sungai, selain dihiburkan bunyi unggas rimba. Lebih 'menghiburkan' apabila liputan telefon bimbit di sini tidak memberikan kerjasama. Terpisahlah kami daripada hiruk-pikuk kota untuk semalaman.

Aktiviti di sebelah petang pula membuka lembaran baharu kepada penulis apabila berpeluang mengikuti kemahiran lanjutan menunggang yang dianjurkan Big Boys Adventure di perkarangan Caravan Serai. Sebaik enjin dihidupkan, penulis menukar mod Multistrada 950 daripada touring ke enduro menerusi butang panel di sebelah kiri bar pemegang.


MULTISTRADA 950 mungkin antara pertimbangan terbaik.

Dilengkapi pakej keselamatan Ducati, jentera Multistrada 950 kini menetapkan sistem ride-by-wire pada kedudukan Kawalan Cengkaman Ducati (DTC)-2, sistem brek anti-kunci (ABS)-1. Penalaan sistem sedemikian memberi lebih kebebasan kepada penunggang mengawal jentera, selain mengurangkan sensitiviti pendikit.

Rintangan pertama adalah menyusuri kon, sebelum melakukan brek kecemasan ketika menunggang di atas permukaan batu kerikil yang ternyata sukar kerana memerlukan imbangan dan keyakinan dalam mengendalikan jentera.

Rintangan terakhir, iaitu melalui lopak yang saiznya seakan cukup menenggelamkan motosikal dan penunggang amat mendebarkan, namun penulis beruntung kerana menjadi 'mangsa' ketiga mengharungi cabaran berkenaan.

"Kawal 'throttle' dan imbangan kerana dalamnya licin," pesan Haizal selaku tenaga pengajar dengan mimik muka sinis, seolah-olah memberi gambaran sudah pasti ada mangsa yang bakal 'berkubang' dalam lumpur kelak.

Nasib menyebelahi penulis kerana mampu mengimbangi bukaan pendikit supaya kuasa yang dijana menggunakan mod enduro cukup sekadar memacu jentera keluar daripada lopak 'gergasi' itu.


JENTERA lasak yang laju dan pelbagai guna.

Suntikan adrenalin

Keesokan paginya, kelesuan akibat berborak melewati waktu malam sebaik selesai sesi 'BBQ' masih terasa, namun kembara ke Fraser's Hill, iaitu antara destinasi percutian tersohor negara yang menanti konvoi seakan terus menyegarkan minda dan mata penulis.

Sudah pasti, jalan ibarat ular dipalu sebelum sampai ke puncak menara jam, di Fraser's Hill tidak pernah gagal membuatkan hati seorang 'rider' seperti disuntik 'adrenalin', teruja melayan selekoh panjang dan tajam.

Mengharungi laluan berliku Sungai Pertak menyingkap siri kemampuan jentera yang turut dikenali sebagai MTS 950 ini. Kesimpulannya, 'kuda' Itali ini membuatkan peralihan kedudukan badan ketika menghampiri alur masuk selekoh cukup santai, manakala kuasa yang dijana menerusi input daripada sistem ABS dan DTC tidak melangkaui sempadan.

Oleh itu, sebenarnya subjektif untuk menjawab persoalan yang bermain di minda penulis ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, sama ada MTS 950 adalah bayangan MTS 1200 yang diturun gred.

Berbalik kepada soalan pokok, setiap penunggang mempunyai dambaan berbeza mengenai motosikal pilihannya. Jika yang dicari selama ini adalah jentera lasak, cukup laju, pelbagai guna, berpatutan harganya dan 'hipster', maka Multistrada 950 mungkin antara pertimbangan terbaik.


MEMPUNYAI sesaran enjin 937cc berteraskan silinder L-Twin Testastretta.

Info
Spesifikasi

  • Sesaran: 937 cc
  • Tork: 96 Nm (71.0 lb-ft) @ 7,750 rpm
  • Kuasa: 83 kW (113 CV) @ 9.000 giri/min
  • Jenis: Sejukan cecair, silinder L-twin
  • Sistem bahan api: suntikan bahan api elektronik Bosch, ride-by-wire
  • Transmisi: 6 kelajuan
  • Kerangka: Trellis, keluli tegangan tinggi
  • Sistem suspensi depan: Kayaba boleh laras 48 mm.
  • Sistem suspensi belakang: suspensi tunggal Sachs boleh laras, spring pengaktifan kawalan jauh sedia laras, lengan ayun Aluminium berkembar.
  • Ketinggian pelana: standard, 84 cm (aksesori, 82 cm hingga 86.1 cm turut ditawarkan)
  • Berat kering: - 205.7 kg
  • Pakej keselamatan: 3 laras ABS, 8 laras DTC
  • Kapasiti bahan api: 20 liter
  • Multistrada 950 Merah 2017 - RM85,900 termasuk GST
  • Multistrada 950 Putih 2017 - RM86,900 termasuk GST
  • Multistrada 950 Merah dengan rim jejari - RM91,900 termasuk GST
  • Multistrada 950 Putih dengan rim jejari - RM92,900 termasuk GST
215 dibaca
Berita Harian X