Ahad, 14 Januari 2018 | 7:01am
SATU-SATUNYA cawangan dan pusat servis sah Volkswagen di Negeri Sembilan.

PCM, HICOM Auto lancar Pusat 3S Volkswagen Seremban

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dan HICOM Auto Sdn Bhd (HICOM Auto) baru-baru ini melancarkan Pusat 3S Volkswagen Seremban, penambahan terbaharu dalam rangkaian Volkswagen di negara ini.

Ia adalah satu-satunya cawangan dan pusat servis sah Volkswagen di Negeri Sembilan dan Pusat 3S Volkswagen kedua oleh HICOM Auto selepas Volkswagen Semenyih.

Memiliki keluasan lebih daripada 24,735 kaki persegi, bilik pameran Pusat 3S Volkswagen Seremban itu mampu menempatkan sehingga lapan kenderaan dan sebuah 'lounge' untuk memberi kemudahan kepada pelanggan.

Mempunyai 13 ruang servis

Terletak di kawasan industri Oakland yang menjadi hab automotif di Seremban, ia turut mempunyai 13 ruang servis yang dikendalikan oleh 18 kakitangan dan berupaya menyelenggara sehingga 20 kenderaan sehari.

Sebagai perkhidmatan nilai tambah, Pusat 3S Volkswagen Seremban juga menyediakan perkhidmatan pengambilan dan penghantaran kenderaan kepada pelanggan yang menetap dalam lingkungan 5 kilometer (km) daripada pusat terbabit.

Bagi memudahkan pelanggan, penasihat jualan Pusat 3S itu juga boleh menghantar kereta baharu ke rumah atau pejabat pelanggan atas permintaan.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter, berkata Pusat 3S Volkswagen Seremban itu adalah bukti usaha berterusan VPCM dalam memastikan keperluan pelanggan sentiasa dipenuhi.

"VPCM akan terus bekerjasama dengan pengedar demi memastikan penambahbaikan rangkaian kami dan memberi pengalaman pemilikan terbaik," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Dibuka Isnin hingga Sabtu

Sementara itu, Ketua Automotif, Bahagian Pengedaran Automotif dan Pengilangan dan Kejuruteraan DRB-HICOM Bhd, Rohime Shafiee, berkata Pusat 3S Volkswagen Seremban itu akan menjadi penanda aras terhadap penambahbaikan rangkaian DRB-HICOM, dari segi perkhidmatan jualan dan selepas jualan.

"Dengan perkhidmatan terhadap kenderaan Volkswagen yang kian meningkat, pelanggan kami boleh mengharapkan tempoh menunggu servis dapat dikurangkan secara signifikan.

"Servis dan penyelenggaraan juga akan lebih pantas serta mudah untuk semua," katanya.

Pusat 3S Volkswagen Seremban dibuka dari Isnin hingga Sabtu, bermula jam 8.30 pagi hingga 7 malam. Pada Ahad dan cuti umum, ia dibuka dari jam 10 pagi hingga jam 6 petang.

Perkhidmatan selepas jualan pula dibuka dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang dan jam 8.30 pagi hingga jam 1 petang pada Sabtu.

INFO
Pusat 3S Volkswagen Seremban

  • Dibuka di kawasan industri Oakland, Seremban
  • Dibuka bermula jam 8.30 pagi hingga 7 malam (Isnin hingga Sabtu)
  • Jam 10 pagi hingga 6 petang (Ahad dan cuti umum)
  • Perkhidmatan selepas jualan dibuka jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang (Isnin hingga Jumaat) dan 8.30 pagi hingga 1 petang (Sabtu)
89 dibaca
Berita Harian X