Rabu, 17 Januari 2018 | 2:00pm
(Dari kiri) Ketua Pegawai Operasi Mitsubishi Motors Malaysia, Ilham Helmi; Duta Mitsubishi Motors Malaysia, Leona Chin dan Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Tomoyuki Shinnishi hadir pada majlis pelancaran model terbaru trak pikap Triton Athlete di One Utama, Damansara. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Triton Athlete lebih sporty

PETALING JAYA: Mitsubishi Motors Malaysia Sdn Bhd (MMM), pengedar utama kenderaan jenama Mitsubishi di Malaysia, melancarkan model terbaru trak pikap Triton Athlete dengan ciri lebih sporty.

Dilengkapi enjin 2.4 liter DI-D diesel turbo VGT, ia menjana kuasa 181 PS pada 3500 rpm dan tork 430 Nm pada 2500 rpm.

Antara sentuhan baharu pada model ini ialah bampar hadapan dipadankan dengan jeriji corak honeycomb berwarna hitam, wheel arches, tangga sisi, bampar belakang, pemegang pintu, rim aloi 17 inci dan cermin sisi.

Bahagian dalaman dihiasi warna hitam dan oren dengan kerusi kulit juga pelapik lantai edisi khas Athlete serta tombol gear kulit, konsol tengah dan roda stereng.

Untuk sistem hiburan dan multimedia ia kini dipasang dengan skrin sesentuh yang menyokong aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto.

Harga jualan Mitsubishi Triton Athlete ialah RM126,990 (termasuk GST atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun waranti atau 200,000 kilometer (km) yang mana lebih dulu.

Berita Harian X