Khamis, 1 March 2018 | 7:00am
REKAAN lebih menonjol, tampil banyak pembaharuan.

Pesona Subaru XV

SELEPAS mendapat sambutan positif peminat kenderaan utiliti sukan (SUV), TC Subaru Sdn Bhd, pengedar rasmi Subaru di Malaysia mengorak langkah drastik untuk memperkenalkan model generasi kedua Subaru XV ke pasaran tempatan pada November lalu.

Pada pendapat penulis, ia adalah langkah bijak kepada TC Subaru kerana pengenalan versi terkini mampu mengembangkan minat bakal pembeli yang sememangnya sudah pun tertarik dengan rekaan model sebelumnya.

Selepas melihat penampilan terkini Subaru XV, penulis tambah pasti ia dapat menggoda sesiapa saja kerana dari segi luaran, model ini saja sudah 'menggegarkan' iman mereka yang memandangnya.

Meskipun ia bukanlah SUV popular sejak generasi pertamanya dilancarkan pada tahun 2012, pada pemerhatian penulis ia akan berubah dengan cepat kerana tidak hanya gayanya kelihatan 'rugged' dan 'stylo', malah fungsi sistem pacuan empat roda membolehkan pemandu memerah jentera ini untuk 'off-road'.

SUBARU XV baharu tampil dengan enjin 2.0 liter Boxer naturally-aspirated empat silinder susunan mendatar dengan kuasa 156 PS dan tork 196 Nm. - Foto Muhaimin Marwan

Si cantik yang berkuasa

Walaupun dari segi gaya ia seakan hanya sesuai untuk pemanduan jalan raya di bandar, tidak mustahil atau kekok jika ia digunakan di laluan berliku kerana kuasanya bagaikan menjadikan 'si cantik yang berkuasa, bermain dengan lumpur'.

Perumpamaan ini seharusnya tidak dilihat dari perspektif gaya kerana Subaru XV baharu menawarkan pakej lengkap dari segi penampilan hinggalah kuasanya.

Penulis pernah memandu uji model terdahulu, namun selepas menguji generasi baharu ini banyak perbezaan yang boleh diperkatakan. Apa yang jelas adalah rupanya dan pengendalian pemanduan yang sangat berbeza.

Dengan jelas penulis dapat merasai perbezaan apabila mengambil selekoh. Subaru XV baharu ini membuatkan penulis langsung tidak teragak-agak meskipun ketika selekoh yang tajam.

Subaru XV ini ditawarkan dengan dua varian, bermula dengan model asas 2.0i yang ditawarkan pada harga atas jalan tidak termasuk insurans RM130,108 dan RM137,528 bagi varian spesifikasi penuh 2.0i-Premium.

Baru-baru ini, penulis berpeluang mengikuti Program Pandu Uji Media Subaru XV ke Melaka, namun sebelum itu, TC Subaru sudah pun memberikan peluang kepada penulis memandu uji secara solo terlebih dulu.

WAKIL media bergambar kenangan pada Program Pandu Uji Media Subaru XV ke Melaka, baru-baru ini.

Pelbagai perubahan

Dua peluang itu sudah cukup membolehkan penulis merasai pengalaman unik memandu model SUV yang tidaklah terlalu keterlaluan jika dikatakan sebagai terbaik setakat ini.

Terdapat banyak perubahan penting yang ditawarkan Subaru XV baharu ini. Bagi varian spesifikasi tertinggi dilengkapi dengan lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang LED berbentuk-C, kekemasan garisan cermin krom dan rel bumbung berwarna perak.

Dari segi mata kasar, mungkin ramai yang tidak perasan yang penampilan luarannya sebenarnya ada banyak perubahan berbanding model sebelum ini.

Banyak perubahan drastik ditampilkan untuk Subaru XV ini, di mana ia sebenarnya lebih kemas dan elegan dengan imej yang lebih premium.

Dari segi dalaman, sentuhan terkini yang ditampilkan lebih tersusun dan premium dengan sentuhan lembut berkualiti tinggi pada permukaan papan pemuka, malah susun atur suis kawalan termasuk bagi kawalan suhu dwi-zon dengan penapis anti-habuk, juga diperkemas.

Paparan pelbagai fungsi 6.3-inci yang memaparkan beberapa data pemanduan termasuk meter perjalanan, penggunaan bahan api, bacaan suhu luaran, tarikh dan waktu dengan gaya baharu dan menarik.

SENTUHAN terkini yang ditampilkan lebih tersusun dan premium dengan sentuhan lembut berkualiti tinggi pada permukaan papan pemuka. - Foto Hafiz Sohaimi

Pilihan SUV tepat

Subaru XV baharu tampil dengan enjin 2.0 liter Boxer naturally-aspirated empat silinder susunan mendatar dengan kuasa 156 PS dan tork 196 Nm.

Dengan kuasa yang ditawarkan itu, penulis 'tidak segan silu' memecut sehingga lebih 160 km/j meskipun kelajuan maksimum 194 km/j.

Tahap responsifnya juga boleh dibanggakan kerana ia mampu memecut 0-100 km/j dalam 10.4 saat, manakala kombinasi penggunaan bahan api pula dianggarkan 7.3 liter bagi setiap 100 km.

Fungsi paling menonjol bagi Subaru XV adalah X-Mode yang sebelum ini juga tiada pada model terdahulu.

Digandingkan dengan sistem pacuan empat roda, teknologi X-Mode memberi kuasa yang jitu apabila jentera berada di laluan off-road apabila diaktifkan.

Tindak balas Subaru XV memberikan daya tarikan yang lebih maksimum sewaktu mengendalikannya di laluan off-road dan ia terbukti apabila penulis tidak melepaskan peluang menggunakan teknologi ini ketika berada di laluan curam, namun ia boleh digunakan dalam kelajuan di bawah 20 kilometer sejam (km/j) saja.

Secara kesimpulannya, Subaru XV baharu ini sememangnya SUV yang perlu diperhatikan kepada mereka yang mahukan kereta baharu. Tidak keterlaluan jika ia dijadikan pilihan utama kepada penulis sekiranya mahu menukar kereta baharu pada masa depan.

GENERASI kedua Subaru XV. - Foto Hafiz Sohaimi

Info:
Subaru XV 2.0i-Premium

  • Harga atas jalan tanpa insurans RM137,528
  • Enjin 2.0 liter Boxer naturally-aspirated empat silinder susunan mendatar
  • Kuasa 156 PS @ 6,000 rpm dan tork 196 Nm @ 4,000
  • Transmisi Lineartronic CVT
Berita Harian X