Jumaat, 20 April 2018 | 3:37pm

BMW rekod jualan cemerlang di Malaysia

KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia melakarkan pertumbuhan memberangsangkan apabila lebih 3,000 unit kenderaan BMW, MINI dan Motorrad sudah terjual pada suku pertama tahun ini, meningkat 15 peratus berbanding 2,600 unit bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl, berkata secara terperinci, BMW menyaksikan perkembangan penjualan sebanyak 18 peratus melebihi 2,500 unit kenderaan baru pada suku pertama tahun ini.

"MINI pula berkembang sebanyak enam peratus dengan penjualan 220 unit kenderaan berbanding tahun lalu dalam tempoh sama sementara BMW Motorrad mencatatkan perkembangan sebanyak dua peratus pada suku pertama tahun ini dengan jualan motosikal menghampiri 260 unit," katanya selepas melancarkan model kenderaan aktiviti sukan (SAV) X3, hari ini.

Menurut Hoelzl, generasi ketiga X3 itu adalah model terbaru pemasangan tempatan (CKD) selepas menjadikan negara ini sebagai hab BWM Group di rantau Asia Tenggara.

"Pelancaran ini membuktikan komitmen BMW Group Malaysia untuk mengembangkan pelaburan di negara ini. Model ini membolehkan pelanggan menerima lebih banyak pilihan produk serta kombinasi pilihan daripada model diimport sepenuhnya (CBU) dalam segmen kenderaan SAV," katanya.

BMW X3 menampilkan reka bentuk lebih menonjol dan dinamik serta dilengkapi sistem pemanduan terbaik.

Hanya varian xDrive30i Luxury ditawarkan untuk pasaran tempatan dengan sistem pacuan semua roda pintar BMW xDrive.

Reka bentuk luaran lebih rapi dapat dilihat melalui gaya off-road yang lasak dan tampak sporty dengan jarak roda kenderaan dipanjangkan lima sentimeter.

Bahagian hadapan dilengkapi rekaan signatur gril kidney tiga dimensi dan lampu kabus berbentuk heksagon, lampu unit LED berteknologi High-beam Assistant, manakala bahagian bawah kenderaan dilindungi salutan warna kelabu dan kilatan krom.

Dengan rim aloi Double Spoke dwi-warna bersaiz 19 inci, X3 tampil gah bersama susunan lampu LED belakang tiga dimensi, spoiler bumbung ekzos berkembar.

Ciri Comfort Access memudahkan pengguna mengakses kenderaan ini serta pintu but kenderaan ini tanpa menggunakan kunci.

Dijana enjin petrol BMW TwinPower Turbo 2.0L empat silinder dan kawalan aci sesondol boleh ubah Double-VANOS menawarkan kuasa maksimum 252hp manakala, tork mencecah 350Nm, membolehkannya memecut daripada pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 6.3 saat sementara kelajuan maksimum adalah 240 km/j.

Ruang dalaman turut diseluti kemewahan apabila permukaan penghawa dingin, audio dan stereng dengan plat tergalvani serba mewah termasuk kerusi kulit Vernasca.

Paparan informasi utama bersaiz 10.25 inci dengan fungsi sesentuh memudahkan pemandu mengetahui sebarang maklumat pemanduan atau hiburan.

Berharga RM320,000 tanpa insurans, empat warna ditawarkan iaitu coklat (Terra Brown), hitam (Black Sapphire), perak (Glacier Silver) dan putih (Alpine White).

Model terbaru ini boleh ditempah melalui pengedar BMW sah di seluruh negara dan penghantara pertama dijadualkan bermula Julai depan.

Pembeli BMW X3 juga boleh menikmati Pengalaman Pemilikan Premium merangkumi jaminan perbatuan tanpa had selama lima tahun dan Program Servis Berjadual Percuma, Program Waranti Tayar selama dua tahun, Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan, BMW White Card serta Servis Atas Talian oleh BMW.

NEW BMW X3. - Foto Zunnur Al Shafiq
PENGARAH Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl, bersama model baru BMW X3. - Foto Zunnur Al Shafiq
Berita Harian X