Sabtu, 21 April 2018 | 9:00am
MADANI (tengah) menunjukkan hadiah kereta jenama Kia Picanto untuk pengunjung bertuah pada Malaysia Autoshow 2018. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Malaysia Autoshow sasar jualan lebih RM250 juta

MALAYSIA Autoshow yang berlangsung pada 26 hingga 29 April ini dijangka meraih jualan sekurang-kurangnya RM250 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif  Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari, berkata penganjuran lebih banyak sesi pandu uji dan pembabitan hampir semua jenama automotif yang akan mempamerkan lebih 100 kereta, termasuk model baharu akan memacu jualan lebih tinggi.

"Kita jangkakan lebih RM250 juta diraih menerusi jualan kenderaan sepanjang empat hari pameran berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

"Dengan sesi pandu uji pelbagai model lebih lama pada laluan lebih panjang ia akan meningkatkan lagi tarikan pengunjung untuk membeli kenderaan.

"Kadar faedah yang menarik yang ditawarkan Maybank juga akan menarik minat membeli kenderaan," katanya pada sidang media Malaysia Autoshow di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nadi pacu TIV

Tahun lalu, Malaysia Autoshow yang berlangsung pada November meraih jualan melebihi RM700 juta.

Madani menjelaskan, Malaysia Autoshow juga dijangka menjadi nadi untuk memacu jumlah jualan kenderaan (TIV) tahun ini yang diunjurkan mencecah 590,000 unit kenderaan.

"Dengan sentimen yang positif, Malaysia Autoshow akan memberi sumbangan penting kepada TIV tahun ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bermula tahun ini, Malaysia Autoshow akan dianjurkan pada April setiap tahun untuk mengelakkan pertembungan dengan pameran automotif antarabangsa lain.

"Keputusan (penukaran tarikh) disebabkan kebanyakan pameran antarabangsa utama seperti Tokyo, Frankfurt dan Paris berlangsung pada separuh kedua.

"Selain untuk mengelakkan kesesakan, tarikh baharu pada April akan membolehkan Malaysia Autoshow menyediakan pelbagai item pameran yang lebih menarik seperti kenderaan konsep dan teknologi terkini berkaitan pengangkutan dan mobiliti," katanya.

Antara daya tarikan Malaysia Autoshow adalah peluang memahami masa depan mobiliti Intelligent Mobility Experience (IMEX), kereta Kia Picanto untuk pemenang cabutan bertuah serta penampilan sulung lagenda Jerman, Borgward.

Info:
Malaysia Autoshow

  • 26 hingga 29 April 2018
  • Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS)
  • Tiket masuk RM10 (kanak-kanak bawah 12 tahun percuma)
Berita Harian X