Jumaat, 27 April 2018 | 3:24pm
Toyota C-HR. - Foto AFP

Toyota C-HR jadi tarikan pengunjung

SERDANG: UMW Toyota Motor (UMWT) tidak ketinggalan untuk mengambil bahagian dalam Malaysia Autoshow 2018 yang berlangsung bermula 26 April hingga Ahad ini untuk mempamerkan barisan model terkini jenama Toyota.

Presiden UMWT, K Ravindran, berkata pada pameran automotif itu, model C-HR yang baru dilancarkan pada awal tahun ini terus menjadi daya penarik utama apabila orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan kenderaan utiliti sukan (SUV) crossover kompak itu.

Katanya, UMWT turut mempamerkan model-model terkini seperti Toyota Hilux L-Edition, Vios, Sienta, Innova X dan Avanza X.

"Toyota sudah menjadi peserta tetap bagi pameran Malaysia Autoshow sejak ia diperkenalkan pada 2010.

"Kami menggunakan peluang ini untuk menunjukkan kemampuan model terbaharu dan menjemput pengunjung untuk memandu ujinya di sekitar Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

"Ini memberi ruang kepada orang ramai untuk lebih memahami penawaran yang diberikan oleh barisan produk Toyota dengan lebih jelas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sempena pameran itu, katanya, orang ramai juga berpeluang untuk mengalami sendiri keupayaan pemanduan off-road Toyota Hilux dan Fortuner di lokasi terbuka yang disediakan.

"Untuk menunjukkan kemampuan mendaki dan sistem bantuan pemandu yang menjadikan pemanduan off-road lebih selamat, pengunjung juga boleh memandu pacuan empat roda terbabit ketika mendaki dan menuruni laluan ramp curam.

"Selain pandu uji, pengunjung juga akan didedahkan dengan pelbagai perkhidmatan jualan dan lepas jualan yang ditawarkan UMWT serta pengedar sahnya di seluruh negara.

"Ini termasuk skim pembiayaan seperti pelan Toyota 2-Tier yang menawarkan ansuran rendah bagi tempoh awal pinjaman jual beli kenderaan," katanya.

Berita Harian X