Selasa, 5 Jun 2018 | 6:30pm
TRAK UD Croner.
TRAK UD Croner.

UD Trucks dan TCIE lancar Croner CKD pertama

KUALA LUMPUR: UD Trucks dan Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE) melancarkan trak tugas sederhana Croner pemasangan tempatan (CKD) yang pertama dipasang di kilang Tan Chong Motor Assemblies Sdn Bhd (TCMA) di Segambut, Kuala Lumpur.

Pencapaian itu menjadikan Malaysia sebagai pasaran pertama di dunia yang memasang CKD Croner dan ia juga adalah trak UD Croner pertama dihasilkan secara CKD oleh rakan pengedar untuk UD Trucks di Asia Pasifik, selain di Jepun.

Perkembangan terbaharu itu mengikuti kejayaan penghasilan CKD trak tugas berat UD Quester yang pertama pada 2016, hadir dalam tempoh kurang setahun selepas trak tugas sederhana itu dilancarkan di Malaysia pada Ogos tahun lalu.

Satu acara untuk merasmikan saluran kilang yang mengeluarkan unit pertama itu diadakan baru-baru ini, dihadiri oleh pasukan pengurusan serta kakitangan kanan UD Trucks, TCIE dan TCMA.

Berucap pada majlis itu, Pengarah Urusan Hab Malaysia UD Trucks, Filip Van den Heede, berkata UD Croner ialah trak tugas sederhana yang versatil, kebolehpercayaan, selamat dan menjimatkan bahan api yang dibina untuk kegunaan pelanggan di Asia.

Beliau berkata, ia adalah rangkaian trak yang direka untuk meningkatkan produktiviti dan masa beroperasi kerana trak itu menggabungkan tiga aspek terbaik iaitu warisan dan pertukangan Jepun pada UD Trucks, teknologi Volvo yang sudah terbukti serta sumber dan pengetahuan mendalam terhadap pasaran tempatan oleh TCIE.

"Matlamat kami ialah membina trak yang diperlukan oleh pelanggan pada hari ini dan masa depan. Kami telah mengambil kira maklum balas daripada pelanggan dalam usaha membantu mereka supaya sentiasa berada di hadapan. Di Malaysia, trak yang cekap bahan api dan berkualiti adalah faktor utama buat pelanggan kami."

"Sebab itulah kami yakin dengan adanya CKD UD Croner, pelanggan dapat menikmati semua ciri terbaik trak itu pada harga yang lebih kompetitif. Sebagai tambahan, mereka juga akan terus menerima perkhidmatan selepas jualan yang lengkap daripada rakan kami, TCIE," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Pengarah Ekekutif TCIE, Tan Keng Meng, berkata, keupayaan pihaknya menghasilkan trak UD Croner secara CKD nyata mengukuhkan lagi kecekapan Tan Chong Group dalam menawarkan rangkaian penuh perkhidmatan untuk industri trak.

Beliau berkata, CKD itu adalah satu bentuk kepakaran strategik dan amat penting, sejak pihaknya berjaya menghasilkan trak tugas berat UD Quester pada 2016.

"UD Trucks dan Tan Chong Group telah mempunyai kerjasama yang kukuh serta berjaya selama 40 tahun, di mana kerjasama rapat kami membolehkan perkenalan produk dan perkhidmatan baharu yang menawarkan logistik pintar kepada pelanggan di Malaysia."

"Trak CKD UD Croner bukan sahaja akan terus menyerlahkan kelebihan UD Trucks, malah menawarkan pelanggan segala yang diperlukan untuk melaksakan tugas dengan efisien dan efektif pada harga mampu milik. Aspek ini sangat penting terutama dalam pasaran Asia yang kompetitif terhadap harga seperti Malaysia. Inilah yang kami sasarkan untuk pelanggan kerana kepuasan dan kepercayaan mereka adalah keutamaan kami," katanya.

TCIE akan menghasilkan 150 unit CKD Croner yang terdiri daripada pilihan kotak gear manual dan auto untuk dua model iaitu Croner PKE dan Croner LKE.

Croner PKE yang dikuasakan oleh enjin enam silinder penuh kuasa adalah untuk kegunaan sederhana-berat dalam jarak jauh, manakala Croner LKE pula ialah model serba guna untuk kegunaan di bandar dan penghantaraan dari bandar ke bandar yang fokus kepada aspek kecekapan pengangkutan.

Keng Meng berkata, pembinaan saluran pengeluaran yang membabitkan pelaburan lebih RM1.5 juta untuk CKD trak tugas berat UD Quester dua tahun lalu adalah pelan strategik daripada Tan Chong Group dalam usaha memenuhi keperluan pasaran tempatan.

Katanya, ia juga menyokong pertumbuhan Malaysia sebagai satu daripada pasaran automotif CKD yang penting di rantau ini, selain menjadi sebahagian daripada hala tuju syarikat untuk meningkatkan tahap kompetitifnya selaku pemain industri automotif.

Justeru, pelaburan sebanyak RM4.5 juta untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran TCMA, termasuklah pemasangan CKD Croner telah dibuat baru-baru ini.

Sebahagian daripada pelaburan itu digunakan untuk meningkatkan kemudahan pemasangan seperti badan dan cat.

UD Trucks pula akan menyumbang dari segi meningkatkan keupayaan pasukan jurutera tempatan dengan berkongsi kepakaran teknologi dan pendekatan latihan amali. Ini bagi memastikan pengurusan kemudahan yang telah dikembangkan ini lebih cekap dan pengeluaran UD Croner pemasangan tempatan yang lancar.

Pengurus Kualiti KD UD Trucks, Tomoharu Takigawa, berkata TCMA dengan operasi CKD telah mencapai standard kualiti dan kecemerlangan operasi UD Trucks.

Ia memainkan peranan yang penting dalam kejayaan jenama kami di Malaysia selama ini. Kami percaya dengan dedikasi serta sokongan daripada TCIE dan TCMA dalam memastikan kualiti unggul UD Trucks, kami akan dapat terus menghasilkan trak yang boleh dipercayai kepada pelanggan di Malaysia."

TCIE memiliki rangkaian 43 pusat servis dan pengedar yang ekstensif di seluruh negara.

Sebarang pembelian trak UD akan disokong oleh perkhidmatan UD Extra Mile Support yang merangkumi servis dan alat ganti tulen UD, latihan pemandu UD, UD Telematics dan Perjanjan Perkhidmatan Jujur UD kepada pelanggan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X