Isnin, 11 Jun 2018 | 9:00am
MODEL kustom 'oldskool' menarik ditunggang. - Foto Zunnur Al Shafiq

Triumph Bobber Black: Gaya lebih mantap

TRIUMPH menghasilkan motosikal sejak 1902, namun tiada model yang mendapat sambutan paling hangat sehebat Bobber.

Dilancarkan pada akhir 2016, model kustom 'oldskool' ini mendapat penerimaan mengejutkan sehingga Triumph terpaksa menggandakan operasi pengeluarannya pada tahun lalu untuk memenuhi permintaan di seluruh dunia.

Penghasilan model Bobber adalah antara cerita kejayaan Triumph dalam pengeluaran motosikal moden klasik dengan teknologi terkini. Lantaran itu, adalah tidak mengejutkan jika Triumph membuat keputusan untuk mengeluarkan varian baharu yang dikenali sebagai Bobber Black pada tahun ini.

Bobber Black adalah kesinambungan daripada model Bobber dengan penampilan lebih gempal, tegap dan stylo. Ia hadir dengan roda hadapan lebih lebar, tambahan cakera brek depan, fork lebih tebal dan lebih banyak komponen berwarna hitam berbanding krom pada keluaran sebelumnya. Jika Bobber adalah antara model terbaik Triumph, maka Bobber Black yang terus mengekalkan DNA model ikonik Bonneville adalah yang lebih baik dari itu.


KESINAMBUNGAN model popular Bobber. - Foto Zunnur Al Shafiq

LEBIH gempal, tegap dan stylo. - Foto Zunnur Al Shafiq

Teknologi terkini

BH Auto berpeluang menunggang uji Bobber Black baru-baru ini. Meskipun motosikal ini tampak seperti model era 1950an, namun teknologi sokongan tunggangan moden seperti pendikit ride-by-wire throttle dan dua mod kawalan cengkaman (TC) memperbaharui pengalaman menunggang seperti pada masa kini.

Seperti pada Bobber sebelumnya, Bobber Black dipacu enjin sistem penyejukan cecair bersesaran 1,200cc seperti pada model Bonneville T120, namun kepala enjin bukaan tunggal (SOHC) dua piston berkembar selari itu menawarkan lebih kuasa kuda dan tork pada rpm rendah. Ia memiliki kotak gear enam kelajuan.

Bobber Black menghasilkan kuasa maksimum 77 hp pada rpm 6,100, iaitu 20 hp lebih rendah berbanding varian berkuasa besar Triumph Thruxton R. Berbanding beberapa varian lain dalam siri Bonneville, Bobber Black menjana 10 peratus lebih kuasa.

Dengan tork maksimum 106Nm pada rpm 4,000. Setiap pusingan pendikit akan menjana pecutan pantas, mencukupi untuk meluncur laju khususnya ketika memotong kenderaan lain.


TRIUMPH Bobber Bonneville Black. - Foto Zunnur Al Shafiq

TRIUMPH Bobber Bonneville Black. - Foto Zunnur Al Shafiq

Kawalan

Bobber Black adalah 9.5 kilogram lebih berat daripada Bobber iaitu berat kering 237.5 kg. Walau begitu, Bobber Black masih senang dikawal. Terasa Bobber Black ini seperti melekat di jalan raya dan meluncur dalam garisan dengan mantap, meskipun ketika mengambil selekoh yang tidak rata. Keupayaan suspensinya menjadikan ia amat stabil.

Sistem brek antikunci (ABS) beroperasi dengan baik. Ada ketika, penulis terpaksa brek mengejut dan kuasa henti Bobber Black terasa mencengkam di jalan raya dengan mantap.

Paling menarik Bobber Black turut dilengkapi alat kawalan tunggangan atau cruise control, yang beroperasi dengan mudah.

Tekan sahaja punat untuk mengekalkan kelajuan, kemudian tekan semula atau tarik brek atau klac untuk kembali kepada asal.

Klac pada model ini juga dilengkapi dengan fungsi bantuan elektronik yang mana membuat ia terasa ringan ditarik dan dilepaskan, justeru menjadikan tunggangan lebih selesa dan lancar.

Sementara itu, sistem pendikit ride-by-wire serta mod TC - Jalan raya dan Hujan, menjana kuasa penuh dengan takat penghantaran kuasa berbeza, lantas meningkatkan keyakinan ketika menunggang dalam apa pun cuaca dan keadaan jalan raya.

Kesimpulannya, Bobber Black sesuai untuk kegunaan harian atau hujung minggu. Ia bukan sahaja memberikan gaya, malah menyediakan prestasi yang amat mantap serta kepuasan menunggang sebuah motosikal moden klasik yang unggul di pasaran ketika ini.


TRIUMPH Bobber Bonneville Black. - Foto Zunnur Al Shafiq

Spesikasi - Triumph Bonneville Bobber Black

Harga: RM74,900

Enjin: 1,200 cc 2-piston selari sejukan cecair

Kuasa: 77 PS @ 6,100 rpm

Tork: 106 Nm @ 4,000 pm

Suspensi: Fork konvensional 47 mm Showa (depan); KYB monoshock (belakang)

Brek: Cakera berkembar 310 mm, 2-piston kaliper (depan); 255 mm disc, 1-piston kaliper Nissin, ABS

Tangki: 9.1 liter

Berat: 237.5 kg

Berita Harian X