Isnin, 11 Jun 2018 | 5:47pm
PERDANA menteri berkata, PROTON bukan lagi kereta nasional.

Projek kereta nasional baharu perlu kajian terperinci - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Kajian yang menyeluruh dan terperinci perlu dilaksanakan sebelum projek kereta nasional baharu dibuat dalam usaha memastikan keputusan itu tidak merugikan negara serta membebankan rakyat.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata walaupun ia masih terlalu awal membuat kesimpulan, perancangan yang dinyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dilihat sebagai langkah jangka masa panjang negara.

"Rancangan (memulakan syarikat kereta nasional) baharu ini dijangka tidak akan mengambil model perniagaan seperti PROTON, sebaliknya akan mensasarkan pasaran global dan serantau.

"Sebelum ini, kegagalan PROTON adalah kerana ia hanya menumpukan pasaran tempatan yang kecil dan ini tidak memungkinkan ekonomi negara," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, meskipun pembangunan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) merancakkan ekonomi negara, pemilikan kereta masih lagi perlu di Malaysia.

"Rancangan ini dilihat memberi penekanan kepada menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi dalam kalangan warga tempatan, malah selain dari memberi tumpuan kepada pasaran lebih besar, fokus beliau dilihat ke arah menghasilkan teknologi permotoran seperti enjin dan komponen buatan tempatan.

"Bagaimanapun, semua keputusan perlu dibuat kajian dengan teliti merangkumi manfaat jangka masa panjang, keperluan semasa, kekukuhan ekonomi dan manfaat kepada rakyat secara amnya," katanya.

Sementara itu, beberapa penganalisis automotif pula menyifatkan hasrat kerajaan untuk memulakan projek kereta nasional baharu adalah sesuatu yang tidak relevan ketika ini memandangkan sukar untuk jenama baharu menembusi pasaran baharu dan sedia ada dalam suasana industri itu sudah mencapai tahap tepu.

"Perniagaan membabitkan kereta adalah industri yang paling sukar di dunia. Kita dapat lihat sejak 10 tahun lalu, tiada jenama baharu dengan pengeluaran besar yang ditubuhkan kerana suasana pasaran sudah cukup matang.

"Malah, pengeluar sedia ada pun sudah berdepan pelbagai masalah. Jika Malaysia mahu mewujudkan syarikat kereta nasional baharu, saya tidak yakin ia mampu pergi lebih jauh dalam keadaan sekarang.

"Pengeluar jenama terkemuka pun tidak mampu berdiri sendiri dan mereka melaksanakan pelbagai inisiatif untuk terus kekal dalam industri termasuk perkongsian platform, teknologi dan pengambilalihan. Inilah realiti dalam industri automotif bukan saja di Malaysia, malah di peringkat global," kata Penganalisis Automotif dan Pengarang Portal Pemotoran mekanika.com.my, Irwan Asri Mohd Nor.

Hari ini, Dr Mahathir ketika menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei ke-24 di Jepun menyuarakan hasrat untuk memulakan projek kereta nasional baharu.

DR Mahathir (tengah) ketika sesi dialog bersama wartawan 'Japan National Press Club' (JNPC) hari ini. Turut hadir Pengerusi JNPC, Ryosuke Harada (kanan). Dr Mahathir berada di kota raya ini untuk lawatan kerja tiga hari yang termasuk menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia, atau Persidangan Nikkei. - Foto BERNAMA

Perdana menteri berkata, PROTON bukan lagi kereta nasional.

"Cita-cita saya adalah untuk memulakan kereta nasional (baharu) bersama rakan usaha sama di rantau ini seperti Jepun, China, Korea Selatan dan Thailand," katanya.

Sementara itu, Pengarang Portal Permotoran Funtasticko, Shamsul Yunos, berkata hasrat penubuhan kereta nasional baharu boleh disokong jika kerajaan memiliki perancangan rapi dan tersusun termasuk kerjasama dengan syarikat luar yang berpaksikan komersial sepenuhnya.

Katanya, landskap industri automotif mengalami perubahan pantas, lebih-lebih lagi ketika ini banyak syarikat berlumba-lumba membangunkan kenderaan pandu sendiri atau semi pandu sendiri.

"Kerajaan perlu melihat ke hadapan, dalam tempoh 12 hingga 15 tahun ini, pengeluar kenderaan utama mungkin berhenti menjual kenderaan dan beralih kepada menyediakan perkhidmatan berkaitan automotif kepada pengguna berikutan perubahan landskap.

"Jika kerajaan ingin mewujudkan syarikat baharu dengan idea lama, ia pastinya tidak menguntungkan Malaysia atau mana-mana syarikat yang berani untuk mewujudkan entiti baharu automotif Malaysia ini.

"Bagaimanapun, sebagai rakyat Malaysia kita akan menyokong jika ia dilaksanakan secara komersial sepenuhnya bukannya hidup atas ehsan kerajaan menerusi dana bantuan untuk terus kekal dalam industri," katanya.

Berita Harian X