Sabtu, 16 Jun 2018 | 9:21am
FERRARI SP38, model yang dibangunkan hanya satu unit di dunia untuk seorang pelanggan bertuah sahaja.

Hanya satu di dunia

FERRARI mendedahkan model kereta super dikenali Ferrari SP38, model yang dibangunkan hanya satu unit di dunia untuk seorang pelanggan bertuah sahaja.

Ini bermakna individu terbabit menjadi satu-satunya manusia yang memiliki Ferrari SP38 di muka bumi, hasil program istimewa dikenali Ferrari One-Off.

Lebih manis, kereta berkenaan diserahkan kepada pemiliknya di Litar Fiorano, iaitu litar milik Ferrari dan sesi pandu uji akan dilaksanakan di sana.

Ferrari SP38 diasaskan dari casis dan sistem mekanikal daripada Ferrari 488 GTB.

Sehubungan itu, ia masih dijana enjin 3.9 liter V8 dengan dua pengecas turbo, menghasilkan 670 PS pada 8,000 rpm dan tork maksimum 760 Nm pada 2,000 rpm.

Menerusi jentera berkuasa itu, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa hanya tiga saat dan mampu mencapai kelajuan 200 km/j dalam masa 8.3 saat.

Kelajuan tertinggi dicatatkan untuk Ferrari SP38 adalah 330 km/j.

MODEL Ferrari SP38 dibina secara One-Off

Inspirasi model legenda

Badan kereta ini direka semula oleh Pusat Rekaan Ferrari Design dan diinspirasikan dari model legenda Ferrari, iaitu F40.

Lampu hadapan Ferrari SP38 direka setirus yang mungkin, manakala lampu nyalaan siang dialihkan bagi menonjolkan karektor serta fungsinya pada bampar hadapan yang lebih nipis, seakan model Ferrari 308 GTB.

Garis badan juga kelihatan berbeza dengan Ferrari 488 GTB di mana Ferrari SP38 kelihatan lebih tajam dengan rekaan tirus dari hadapan dan mengembang ke belakang.

Pengaruh rekaan F40 pula jelas pada bahagian belakang di mana bahagian cermin penutup enjin direka dengan tiga liang melintang, spoiler belakang bersepadu, termasuk rekaan pada lampu belakang.

Menurut Ferrari, Ferrari SP38 direka dengan kemasan Tailor Made penuh istimewa hanya untuk kereta itu.

Ferrari SP38 membuat kemunculan awam pertamanya pada 26 Mei lalu dipamerkan di Concorso d'Eleganza Villa d'Este.

Info:
Ferrari SP38

  • Harga tidak didedahkan
  • Hanya seunit di dunia
  • Enjin 3.9 liter V8 dengan dua pengecas turbo
  • 670 PS @ 8,000 rpm dan tork maksimum 760 Nm @ 2,000 rpm

  • 0-100 km/j dalam masa hanya tiga saat, kelajuan 200 km/j dalam masa 8.3 saat
  • Kelajuan tertinggi adalah 330 km/j
Berita Harian X