Selasa, 10 Julai 2018 | 9:00pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza Corporation Holding, Datuk Samsom Anand George (dua kiri) melancarkan Kia Stinger pada majlis pelancaran Model terbaru KIA STINGER. Turut bersama Philip Chew (kiri), Dennis Michael (dua kanan) dan Mohd Irhash Zamani (kanan) di Naza Red Cube. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Naza Kia lancar Kia Stinger, harga bermula dari RM229,888

PETALING JAYA: Naza Kia Malaysia, pengedar sah jenama Kia melancarkan model sedan sport dengan ciri gran turismo (GT), Stinger untuk pasaran Malaysia sebentar tadi pada harga bermula dari RM229,888.

Dua varian model berkenaan yang dibawa masuk Naza Kia Malaysia iaitu 3.3 liter V6 GT yang dijual pada harga atas jalan tidak termasuk cukai jalan dan insurans, RM309,888 dan 2.0 liter GT-Line (RM239,888).

Bagi varian 2.0 liter, ia dikuasakan enjin pengecas turbo empat silinder Theta II T-G yang menghamburkan sehingga 251 kuasa kuda (hp) pada 6,200 rpm dan tork 353 Nm dari 1,400 - 4,000 rpm, dengan pecutan dari 0 ke 100 kilometer sejam (ksj) dalam masa enam saat.

Bagi varian 3.3 liter pula, prestasinya adalah lebih berkuasa dibantu enjin turbo berkembar V6 Lambda T-GDi yang menghamburkan sehingga 365 hp pada 6,000 rpm dan tork 510 Nm dari 1,300 - 4,500 rpm dan hanya mengambil masa 4.9 saat untuk memecut dari 0 ke 100 ksj.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Kumpulan Automotif) Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George, berkata model berkenaan adalah inovasi era baharu KIA, seiring dengan moto 'The Power to Suprise' mereka.

"Namun pada masa sama model ini masih mengekalkan DNA jenama terbabit yang menawarkan prestasi, keselesaaan dan ciri teknologi terkini," katanya pada majlis pelancaran KIA Stinger di sini, sebentar tadi.

Rekaan KIA Stinger dengan bayangan 'fastback' dan kedudukan pacuan-roda-belakang menjadikan ia tampil dengan elemen aerodinamik serta garis dan kontur pada pintu menyerlahkannya sebagai sebuah GT.

Rekaan gril signatur berbentuk 'hidung-harimau' diapit dengan lampu hadapan LED penuh serta corak sarang-lebah dan krom gelap menyerlahkan ciri luaran yang premium.

Bahagian dalaman yang kemas berkonsepkan gaya kabin kapal terbang serta dipadankan dengan kerusi kulit lembut Nappa bagi 3.3L V6 serta kerusi pemandu elektrik lapan larasan dan sokongan lumbar untuk keselesaan sepanjang perjalanan sebagai ciri standard untuk kedua-dua varian.

Pemanduan pintar dengan kawalan transmisi Shift-By-Wire untuk Stinger ini membolehkan pemandu menukar mod melalui kawalan elektronik pada paddle shift di belakang roda stereng.

Pemanduan pacuan roda-belakang juga membolehkan sistem stereng dan suspensi digabungkan melalui lima mod pemanduan yang menawarkan kelancaran di antara ciri keselesaan dan sport.

Sebagai sebuah GT yang ditala dan dibangunkan di litar Nürburgring, Jerman ia dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan untuk pemanduan seperti Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) dengan sistem Kawalan Pemanduan Daya Kilas Dinamik yang mengalirkan kuasa mengikut situasi pemanduan dan permukaan jalan bagi mengelakkan gelinciran.

Berita Harian X