Ahad, 29 Julai 2018 | 5:40pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Prof Jomo Kwame Sundaram.

'PEROTIGA' perlu pertimbangan sewajarnya - Jomo

KUALA LUMPUR: Hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, membangunkan kereta nasional baharu perlu pertimbangan sewajarnya kerana ia dilihat sebagai antara usaha memperbanyakkan sektor perindustrian maju di negara ini, kata Prof Jomo Kwame Sundaram.

Pakar Ekonomi itu menyifatkan cadangan berkenaan membuktikan komitmen kerajaan untuk merancakkan sektor perindustrian tempatan yang lebih maju dan berteknologi tinggi meskipun pernah berdepan kegagalan pelaburan 'industri berat' sebelum ini.

Hasrat Dr Mahathir melaksanakan projek kereta nasional terbaharu, selepas PROTON dan PERODUA yang disebut-sebut sebagai 'PEROTIGA', menjadi 'perdebatan' dalam kalangan pengguna khususnya di media sosial, kerana dianggap tidak bertepatan ketika industri automotif negara sudah berkembang maju.

"Kita harus mempertimbangkan cadangan Perdana Menteri untuk memperbaharui komitmen dalam memperbanyakkan perindustrian lebih maju di negara ini.

"Sebagai contoh, Geely perlu 'dipujuk' untuk bekerjasama dengan Proton dalam menjadikan negara ini sebagai hab eksport utama mereka bagi pengeluaran kereta saiz sederhana, seluruh dunia.

"Kerjasama itu pada masa sama akan membantu merealisasikan hasrat Dr Mahathir untuk membangunkan kereta elektrik yang sudah dinyatakan sejak 1990-an, yang mana ia dapat memenuhi keperluan global untuk menangani isu pemanasan global dan pencemaran udara berpunca penggunaan bahan api," katanya dalam satu maklum balas di sini, baru-baru ini.

Selain itu katanya, kereta elektrik juga dapat mengenepikan keperluan enjin tradisional yang mana ia menjadi cabaran terakhir dalam membangunkan kereta buatan Malaysia sejak berdekad lalu.

"Sememangnya, dunia sudah berubah dan menjadi keutamaan untuk mempertimbangkan semula apa yang berkeupayaan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa pada masa depan.

"Rakyat Malaysia menghargai pelaburan yang mana mampu menyumbang kepada perkembangan negara, contohnya dalam teknologi telekomunikasi 5G, aplikasi kecerdasan buatan, teknologi kewangan baharu, tenaga diperbaharui, perubahan baharu dan kenderaan elektrik," katanya.

Tambahnya, kerajaan baharu lebih cenderung memfokuskan pelaburan industri yang produktif, terutama dengan komitmen Dr Mahathir bagi mempercepatkan kemajuan teknologi di Malaysia.

Dr Mahathir ketika menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei Ke-24 di Jepun, pada Jun lalu menyuarakan hasrat untuk memulakan projek kereta nasional baharu.

Perdana Menteri berkata, PROTON bukan lagi kereta nasional dan cita-cita beliau adalah untuk memulakan kereta nasional (baharu) bersama rakan usaha sama di rantau ini seperti Jepun, China, Korea Selatan dan Thailand.

Bagaimanapun cadangan itu menerima bantahan pelbagai pihak termasuk Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan penganalisis automotif yang menyifatkan cadangan itu tidak relevan.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, dipetik sebagai berkata, Malaysia tidak memerlukan satu lagi kereta nasional baharu memandangkan industri automotif negara sudah berkembang maju, manakala dari segi skala ekonominya pula, pasaran kenderaan tempatan dilihat kecil.

Katanya, industri automotif tempatan sudah pesat membangun dan ia kini mempunyai lebih 500 vendor tempatan yang memenuhi keperluan industri automotif negara dari segi bekalan.

"Jika dibandingkan dengan negara ASEAN lain seperti Thailand dan Indonesia, ia tidak mempunyai kereta nasional, tetapi industri automotif negara berkenaan berkembang kukuh," katanya.

Berita Harian X