Selasa, 7 Ogos 2018 | 5:43pm
ERNEST Chong Ruichen dari Pusat 3S Nissan Kuching yang memenangi pertandingan NISAC Kebangsaan pada April lalu, dipilih untuk mewakili Malaysia ke NISAC. - Foto ihsan Tan Chong Motor
ERNEST Chong Ruichen dari Pusat 3S Nissan Kuching yang memenangi pertandingan NISAC Kebangsaan pada April lalu, dipilih untuk mewakili Malaysia ke NISAC. - Foto ihsan Tan Chong Motor

Tan Chong Ekspres penasihat servis cemerlang Nissan di Asia

KUALA LUMPUR: Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn Bhd (TCEAS) dinobatkan juara Pertandingan Anugerah Penasihat Servis Cemerlang Nissan Rantau Asia (NISAC) yang diadakan di Thailand baru-baru ini.

NISAC adalah pertandingan peringkat serantau yang dianjurkan oleh Nissan Motor Co Ltd bermatlamat untuk mengiktiraf dan memberi anugerah kepada penasihat servis daripada bahagian selepas jualan dan servis yang mempunyai kemahiran terbaik.

Ketua Perkhidmatan Selepas Jualan TCEAS, Michael Yao Tsu-Wei, berkata Ernest Chong Ruichen dari Pusat 3S Nissan Kuching yang memenangi pertandingan NISAC Kebangsaan pada April lalu, dipilih untuk mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat serantau itu.

Katanya, Ernest yang juga peserta paling muda mengungguli pertandingan itu sekali gus menewaskan peserta lain yang lebih berpengalaman dari Hong Kong, Singapura, Republik Korea, Filipina, Brunei dan Sri Lanka.

“Kami bangga atas pencapaian Ernest. Menjadi pemenang paling muda, beliau akan menjadi model contoh dalam menetapkan standard kualiti servis kepada penasihat servis Nissan yang lain di negara ini.

“Kami akan terus menambah baik kemahiran dan keupayaan pakar servis serta menyediakan pelanggan dengan sokongan selepas jualan serta servis yang konsisten,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, TCEAS bersama Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) turut mengingatkan kembali mengenai kempen servis penggantian inflator beg udara Takata.

“Pemilik kenderaan Nissan yang terbabit dinasihatkan supaya menghubungi cawangan TCEAS terdekat untuk mendapatkan temu janji menggantikan pengepam beg udara Takata.

“TCEAS yang terpilih juga melanjutkan tempoh operasi mereka dan kini dibuka 365 hari. Ini sekali gus memudahkan pelanggan untuk melakukan servis pada hujung minggu selain meningkatkan kapasiti aktiviti penggantian,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya semua kos buruh dan penggantian alat ganti untuk kempen servis itu adalah percuma.

Berita Harian X