Jumaat, 10 Ogos 2018 | 3:47pm
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Darell Leiking. - Foto Aziah Azmee

MAI, IOI, jalin usaha sama jangka panjang

KUALA LUMPUR: Institut Automotif Malaysia (MAI) menjalinkan usaha sama jangka panjang dengan Institut Otomotif Indonesia (IOI) bagi pembangunan industri automotif menerusi pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) baharu, hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Darell Leiking, berkata MoA itu akan mengeratkan lagi hubungan usaha sama antara MAI dan IOI serta memberi tumpuan dalam pembangunan modal insan, rangkaian bekalan, mengenal pasti peluang pasaran, teknologi industri automotif, penambah baikan kualiti dan kerjasama menjalankan kajian dalam pembangunan industri automotif di Malaysia dan Indonesia.

“Indonesia sejak dulu mempunyai hubungan rapat sebagai rakan dagangan Malaysia. Sejak 2006 hingga 2017, dagangan dua hala menunjukkan peningkatan berganda dari AS$9.02 bilion pada 2006 kepada AS$16.89 bilion tahun lalu.

“Angka yang dicatatkan pada 2017 mewakili 4.1 peratus dagangan global Malaysia, sekali gus menjadikan Indonesia sebagai rakan dagangan global ketujuh terbesar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis menandatangani MoA yang dianjurkan di Jakarta itu disaksikan oleh Leiking dan Pengarah Besar Akses dan Pembangunan Industri Antarabangsa Kementerian Industri Republik Indonesia, I Gusti Putu Suryawirawan.

Leiking berkata, pemeteraian MoA itu harus dilihat sebagai pencapaian awal antara MAI dan IOI, malah kedua-dua pihak harus teruskan kerjasama bagi mengeratkan lagi hubungan dagangan antara Malaysia dan Indonesia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari, berkata MAI dan IOI akan terus menyokong dan memudahkan usaha sama itu menerusi beberapa program pembangunan.

“Lebih banyak program akan dianjurkan oleh MAI dan IOI untuk meneroka potensi pasaran dalam mewujudkan kerjasama perniagaan ke perniagaan (B2B) lebih baik antara peserta industri automotif di kedua-dua negara,” katanya.

MAi dan IOI mula menjalinkan usaha sama pada 2017, yang mana 10 syarikat automotif tempatan berjaya mewujudkan kerjasama dengan syarikat di Indonesia.

Kedua-dua pihak pada Mac lalu turut menganjurkan program padanan perniagaan bagi membolehkan vendor Malaysia dan Indonesia mengenal pasti potensi rakan niaga untuk akses pasaran di kedua-dua negara.

Program itu disertai 18 vendor tempatan dan 30 dari Indonesia yang mana 10 vendor Malaysia berjaya mengenal pasti rakan niaga dari negara jiran itu.

Berita Harian X