Sabtu, 1 September 2018 | 2:58pm
PAKAR kejuruteraan automotif, Prof Dr Abu Talib Othman.

Kereta nasional 3.0 perlu tumpu pengeluaran EV

KUALA LUMPUR: Hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membangunkan kereta nasional baharu perlu pertimbangan sewajarnya terutamanya dalam meningkatkan kapasiti negara sebagai hab teknologi kejuruteraan.

Sudah tiba masanya kerajaan menjadikan sektor kejuruteraan sebagai asas pekerjaan dan kekuatan negara.

Hala tuju dan idea pembangunan kereta nasional baharu itu tepat tetapi teknologi yang digunakan perlu ditukar.

Ini kerana kemajuan sesebuah negara adalah diukur sejauh mana teknologi yang dimiliki dan teknologi pembuatan kereta adalah suatu element terpenting dalam memperlihat kebolehpercayaan teknologi yang

dimiliki.

Pakar kejuruteraan automotif, Prof Dr Abu Talib Othman, berkata negara perlu menumpukan kepada pengeluaran kenderaan elektrik (EV) selain pembangunan kapasiti bateri dan Internet Segalanya (IoT) bagi kenderaan di negara ini.

“Kita tidak perlu mencari rakan kerjasama seperti yang dilaksanakan dengan Proton atau Perodua tetapi perlu rakan kerjasama dalam teknologi EV dan bateri yang mungkin bukan terdiri daripada syarikat pengeluar kenderaan antarabangsa tetapi syarikat teknologi baharu.

“Malaysia mempunyai sumber dan kapasiti dalam pembangunan teknologi EV terutamanya dalam teknologi bateri. Ia boleh menjadikan Malaysia sebagai hab kejuruteraan dan teknologi EV serta bateri di rantau ini serta pembekal utama jika ia dapat dilaksanakan,” katanya.

Dr Abu Talib berkata banyak kejayaan dalam pembangunan kereta nasional sebelum ini oleh Tun Dr Mahathir sudah membuktikan kejayaannya walaupun bukan dari segi jualan dan keuntungan tetapi dari segi manfaat ekonomi syarikat tempatan dan kepakaran.

Beliau berkata, jika dilihat dari segi sokongan industri pengeluaran kereta tempatan, ramai usahawan kejuruteraan tempatan wujud dan ada antara mereka yang turut terbabit dalam eksport komponen dan perkhidmatan.

“Kita mempunyai kepakaran tempatan yang mencukupi untuk memulakan pengeluaran kereta nasional ketiga.

Kemahiran yang terkumpul sejak initiatif pelaksanaan Proton dan Perodua juga sudah bertaraf dunia,” katanya.

Sementara itu, Penyelidik Automotif Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI), Dr Muhamad Husaini Abu Bakar, berkata kemampuan menghasilkan produk yang kompleks seperti kereta adalah sangat penting bagi memastikan produk-produk keluaran negara yang lain mendapat perhatian secukupnya dipasaran antarabangsa.

Proses pembuatan kereta mencakupi hamper keseluruhan teknologi terkini baik dari segi bahan termaju seperti nano teknologi sehinggalah perkilangan pintar yang mana selari dengan kehendak revolusi industri keempat (Industri 4.0).

Oleh itu katanya kepentingan memiliki industri pembuatan kereta nasional adalah wajib sekiranya negara melihat kepada keperluan untuk menjadi negara maju.

“Kereta elektrik bakal menguasai jalan raya kita sekitar 2030 sepertimana yang dijangkakan oleh sekumpulan penyelidik Eropah. Selari dengan aliran semasa, kerajaan perlu memulakan projek kereta nasional 3.0 berasaskan kereta elektrik.

“Kedudukan Malaysia yang sangat strategi untuk menjadi hub kepada pasaran kereta menyokong lagi usaha ini.

“Dengan adanya teknologi terkini yang dieksport dari beberapa negara, Malaysia akan dilihat sebagai gergasi dalam pasaran atau pembuatan kereta elektrik.

“Proses pemindahan teknologi ini akan berlaku dengan pantas memandangkan Malaysia kini sudah mempunyai ramai jurutera dan saintis yang berkelayakan,” katanya.

Dr Muhamad Husaini berkata, dengan inisiatif yang bijak Malaysia dijangka akan memiliki teknologi kereta elektriknya sendiri hanya dalam tiga tahun.

Element penting bagi kereta elektrik katanya adalah sumber tenaganya iaitu bateri.

Selain dari meningkatkan teknologi reka bentuk kereta, projek ini juga penting bagi memastikan teknologi pembangunan bateri dapat dimiliki oleh Malaysia.

“Teknologi bateri hari ini masih tertumpu kepada pengunaan litium sebagai sumber utama penghasilan electrod batteri.

“Walau bagaimanapun disebabkan kekangan dalam sumber asli litium maka saintis mula mengorak langkah untuk menggunakan bateri berasaskan aluminium dan silikon.

“Malaysia diketahui umum mempunyai simpanan aluminium dan silikon yang berkualiti tinggi. Dengan adanya teknologi bateri ini kita mampu membuka satu peluang pelaburan baru kepada negara. Secara tidak langsung kita dapat menjana pendapatan dengan menghasil atau memproses sendiri bahan mentah kita yang selama ini di eksport keluar,” katanya.

Dr Muhamad Husaini berkata, selain daripada mineral asli yang dilombong, Malaysia juga kaya dengan bahan karbon yang juga boleh digunakan dalam penghasilan elektrod udara katod.

Beliau berkata, beberapa siri kajian yang dilakukan di UNIKL-MSI menunjukkan bahawa karbon material dari sumber pertanian Malaysia dapat digunakan dalam menghasilkan bateri yang efisyen.

Oleh kerana Malaysia mempunyai biodiversiti yang tinggi maka negara berupaya menyediakan bateri yang yang selamat dan tidak mencemarkan alam.

“Ini adalah kerana bateri yang berasaskan karbon material terbukti tidak mencemarkan kerana berasaskan sumber organik.

“Selain itu bateri ini juga adalah tidak mudah terbakar dan sesuai digunakan untuk kenderaan. Dengan mempunyai teknologi kereta elektrik sendiri, negara kita akan menjadi penting dari sudut ekonomi dan juga teknologi.

“Perlaksanaan projek kereta nasional ini dilihat dapat memberikan motivasi bagi membawa kajian ke satu peringkat iaitu komersialization,” katanya.

Sebagai kesimpulan, Dr Muhamad Husaini berkata, perlaksanaan projek kereta nasional 3.0 perlu disokong kerana impak kepada kemajuan negara adalah sangat bernilai terrutamanya dari segi pemindahan teknologi dan juga pembentukan pasaran unik.

Beliau berkata, kereta elektrik adalah masa hadapan industri automotif, maka adalah perlu negara menyediakan kepakaran dan juga keupayaan dalam bidang ini.

Berita Harian X