Khamis, 6 September 2018 | 6:16pm
BMW Malaysia memperkenalkan BMW 6 Series GT pertamanya. - NSTP/ Zulfadhli Zulkifli

BMW perkenal 6 Series GT sulung

KUALA LUMPUR: BMW Malaysia memperkenalkan BMW 6 Series Gran Turismo pertamanya, yang menumpukan kepada elemen keluasan, keselesaan dan kefungsian, sekali gus meletakkan penanda aras baharu untuk segmen kenderaan mewah.

Diperkenalkan melalui lencana varian BMW 630i GT, jentera baharu itu menambah portfolio model pemasangan tempatan (CKD) kenderaan BMW Group Malaysia kepada sembilan model dan 11 varian.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Harald Hoelzl, berkata ini sekali gus memperlihatkan komitmen pengeluar kenderaan premium itu untuk mengembangkan skala operasi dan pelaburannya di Malaysia serta kedudukan negara ini sebagai hab BMW Group di rantau ini.

“BMW 6 Series GT menambah satu lagi dimensi dan penawaran baharu dalam portfolio produk mewah moden kami. Jentera ini menawarkan ciri-ciri fungsi canggih serta menampilkan format badan kenderaan baharu yang menempah nama di persada antarabangsa.

“Ia juga didatangkan dengan ciri pemanduan yang selesa serta keluasan standard tinggi, justeru mendefinisikan karakter kenderaan ini tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hoelzl berkata, ciri unik generasi kenderaan terdahulu kini diperhalusi dan dibawa ke tahap baharu dalam BMW 6 Series GT, dengan evolusi sistematik ketara yang boleh dilihat menerusi jentera itu.

“Kemajuan yang disertakan pada jentera ini dapat dilihat menerusi penampilannya yang serba sporty, kelengkapan canggih, sistem bantuan dan pengawalan inovatif, serta kemajuan dalam aspek dinamik dan kecekapan.

“Model baharu ini akan menyuntik nafas baharu kepada kelas kenderaan eksekutif mewah, sebagai satu-satunya kenderaan dalam segmen seumpama yang menawarkan keluasan seperti kenderaan Gran Turismo moden, keselesaan pemanduan seperti sedan kelas mewah serta dinamik dan tarikan estetika sepadan dengan coupe elegan bersaiz besar,” katanya.

Beliau berkata, dinamik pengendalian dan tahap keselesaan pemanduan yang ditawarkan oleh jentera itu dimanfaatkan menerusi penambah baikan pada teknologi casis.

Katanya, jentera itu dilengkapi dengan suspensi adaptif dengan Kawalan Peredam Dinamik serta suspensi udara pada gandar hadapan dan belakang.

“Peredam yang dikawal secara elektronik turut meningkatkan lagi tahap keselesaan pemanduan dan pengendalian kenderaan ini, serta pengawal roda khas dapat memberikan keseimbangan bagi muatan yang tidak seragam.

“Dikuasakan enjin 2.0 liter TwinPower Turbo yang dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan, ia mampu menghasilkan 258 kuasa kuda (hp) serta tork maksimum setinggi 400 Nm.

“Ini membolehkan jentera itu mencapai kelajuan maksimum 250 kilometer sejam (km/j) dengan pecutan 0 hingga 100 km/j pada catatan masa 6.3 saat. Malah ia mempunyai penggunaan bahan bakar gabungan sebanyak 6.6 liter bagi setiap 100km,” katanya.

Dalam pada itu, BMW 6 Serius GT turut ditawarkan menerusi pilihan warna putih (Alpine White), biru (Bluestone), hitam (Carbon Black) dan kelabu (Sophisto Grey) dengan padanan warna hitam (Leather Dakota Black) untuk bahagian dalam.

BMW 6 Series GT itu boleh didapati melalui semua pengedar BMW di seluruh negara bermula Sabtu ini.

INFO

  • Enjin 2.0 liter TwinPower Turbo
  • Transmisi Steptronic lapan kelajuan
  • Kelajuan maksimum 250km/j
  • Pecutan 0 hingga 100km/j: 6.3 saat
  • Penggunaan bahan api 6.6 liter bagi setiap 100km
Berita Harian X