Khamis, 4 Oktober 2018 | 1:27pm
Presiden dan Ketua Eksekutif, Kumpulan Industri - Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman. - Arkib NSTP

Model kereta nasional baharu di pasaran awal 2020

CYBERJAYA: Model pertama projek kereta nasional baru akan mula berada di pasaran pada 2020, dengan model prototaip akan siap menjelang awal 2019.

Presiden dan Ketua Eksekutif, Kumpulan Industri - Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman, berkata model berkenaan menggunakan 100 peratus teknologi pencetus baharu dan tidak mengikut jejak pengeluaran kenderaan konvensional.

“Kita tidak menganggap projek ini sebagai kenderaan nasional ketiga, sebaliknya ia adalah projek baru memandangkan teknologi yang diguna pakai berbeza dengan Proton atau Perodua.

“Malah, kami juga percaya ia adalah jenama kenderaan keluaran Malaysia yang pertama dihasilkan melalui revolusi Industri 4.0,” katanya.

Beliau menjelaskan, ketika ini pihaknya sedang giat memilih rakan strategik bagi menjayakan projek berkenaan dengan 100 peratus pembabitan syarikat tempatan.

“Antara pihak yang berpotensi menyertai projek ini adalah SilTerra dan Composites Technology Research Malaysia (CTRM) yang akan membangunkan bahagian komponen kenderaan,” katanya pada taklimat media di sini, hari ini. Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusoff.

Mohd Yusoff berkata, model berkenaan yang akan menggunakan pemanduan jenis semi-autonomous itu akan menumpukan pasaran global.

“Tidak timbul isu persaingan dengan jenama lain di pasaran tempatan, kerana model ini dihasilkan untuk pasaran global.

“Namun, buat masa ini, kami masih belum memutuskan jenis kenderaan yang akan dihasilkan sama ada sedan, kompak atau kenderaan utiliti sukan (SUV),” katanya.

Sementara itu, Redzuan berkata, walaupun tempoh pelaksanaan projek kereta terbaru ini dilihat terlalu singkat, namun pihaknya yakin ia dapat dilaksanakan.

“Tempoh dua tahun untuk pengeluaran pertama adalah tidak mustahil kerana teknologi pencetus memungkinkan pelbagai perkara.

“Jika ia dihasilkan secara konvensional sebagaimana pengeluaran kenderaan hari ini, tempoh dua tahun itu adalah mustahil. Namun, projek ini menggunakan teknologi yang jauh berbeza dan kami yakin ia boleh dilaksanakan,” katanya.

Berita Harian X