Selasa, 23 Oktober 2018 | 9:15am
Vespa GTS 300 Super Sport dijual pada harga RM28,000. - Foto NSTP

Vespa Primavera, Sprint dan GTS 300 Super Sport dilancar

NAZA Premira Sdn Bhd, pengedar sah jenama Vespa di Malaysia, baru-baru ini melancarkan tiga skuter baharu iaitu Vespa Primavera 150, Sprint 150 dan GTS 300 Super Sport untuk pasaran tempatan.

Bermula dengan Primavera, iaitu model pertama yang diperkenalkan sejak 1968, ia kini tampil dengan beberapa pembaharuan seperti reka bentuk penggayaan ala tali leher yang menghiasi bahagian depannya, serta kemasan krom pada mudguard depan.

Ia juga didatangkan rim 12 inci lima jejari serta menggunakan teknologi LED untuk lampu depan dan belakang.

Primavera 150 menggunakan enjin silinder tunggal empat strok 150 cc i-get yang mampu menghasilkan kuasa 12.7 kuasa kuda (hp) pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm tork pada 6,500 rpm.

Tawar tiga pilihan warna

Selain itu, model ini menawarkan tiga pilihan warna iaitu Beige Metallic, Nero Vulcano dan Monto Bianco.

Malah, pemilik juga ditawarkan pilihan aksesori untuk memberi sedikit sentuhan sendiri terhadap skuter berkenaan. Antaranya kotak barangan, perehat belakang, dan rak barangan.

Bagi Vespa Sprint pula, ia juga menampilkan pembaharuan sama seperti Primavera, dengan penggayaan keseluruhannya menjadi pembeza utama.

Bagaimanapun, spesifikasi enjin varian ini adalah sama. Untuk pilihan warna, ia menampilkan Blue Matte, Monte Bianco, Rosso Dragon dan Grigio Titantio.

Aksesori pilihan untuk Sprint 150 merangkumi kotak barangan khusus, cermin penghadang angin depan dengan logo Vespa serta mudguard depan dan belakang. Selain itu, ia didatangkan rim aloi dua warna dengan grafik Sport.

Tiga model Vespa baru dilancarkan untuk pasaran tempatan iaitu Primavera, Sprint dan GTS 300 Super Sport dengan ciri luaran dan warna terkini untuk pilihan pembeli. ​- Foto NSTP

Model paling berkuasa Vespa

Beralih kepada Vespa GTS Super Sport, ia adalah model paling berkuasa dalam barisan model ditawarkan oleh Vespa pada masa ini.

Ia menggunakan enjin Qasar 273 cc silinder tunggal, dengan janaan kuasa 15.6kW pada 7,750 rpm dan 22 Nm tork pada 5,000 rpm. Selain itu, ia didatangkan sistem kawalan cengkaman ASR dan ABS.

Model itu tampil dengan gandingan warna dan kemasan baharu, serta penampilan wajah yang lebih segar. Pilihan warna merangkumi Red Matte dan Grigio Titanio.

Dari segi harga, Vespa Primavera 150 ditawarkan dijual pada harga RM15,600, Sprint 150 (RM16,400) manakala RM28,000 untuk GTS Super Sport.

INFO: Harga

  • Vespa Primavera 150 (RM15,600)

  • Vespa Sprint 150 (RM16,400)

  • Vespa GTS 300 Super Sport (RM28,000)
  • Kemelut Kerajaan

    Berita Harian X