Khamis, 25 Oktober 2018 | 4:35pm

Rangkaian model Ford Ranger baharu diperkenal

SHAH ALAM: Ford Motor Company (Ford) dan rakan pengedar tempatannya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) hari ini memperkenalkan rangkaian model Ford Ranger baharu untuk pasaran tempatan.

Pengarah Urusan SDAC, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, berkata rangkaian Ranger baharu itu membabitkan sembilan varian terdiri daripada varian XL, XLT, XLT+, Wildtrak dan Raptor.

Bagaimanapun, katanya varian Raptor akan hanya dilancarkan secara rasmi di Kuala Lumpur International Motor Show 2018, bulan depan.

"Ranger baharu ini menawarkan tiga rangkaian kuasa diesel untuk lebih versatil dan memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza. Ia membabitkan enjin 2.0 liter (l) turbo tunggal, 2.0l bi-turbo dan enjin Duratorq 2.2l.

"Selain itu, buat pertama kali untuk segmen trak pikap, ia didatangkan teknologi bantuan pemanduan dan keselamatan seperti Semi-Automatic Parrallel Parking, Autonomous Emergency Braking dengan Pengesan Kenderaan dan Pejalan Kaki.

"Malah, ia juga dilengkapi sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, pengangkat pintu but serta SYNC 3 bersama keupayaan Apple Car Play dan Android Auto," katanya pada majlis pelancaran Rangkaian Ford Ranger, di sini, hari ini.

Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz (kanan) dan Pengarah Urusan Sime Darby Motors Malaysia, Thailand dan Taiwan, Dennis Ho (kiri) melancarkan barisan Ford Ranger baru di Pusat Konvensyen Setia City. - Foto Asyraf Hamzah

Hadir sama ialah Pengarah Urusan Pasaran Membangun Asia Pasifik Ford, Truong Kim Phong dan Pengarah Urusan Sime Darby Motors Malaysia, Thailand dan Taiwan, Dennis Ho.

Syed Ahmad berkata, tiga pilihan varian ditawarkan untuk XL yang dijual pada harga bermula RM90,888 manakala dua varian untuk XLT pada harga RM109,888.

"Ranger XLT+ yang hanya ditawarkan satu varian dijual pada harga RM124,888 manakala Wildtrak merangkumi dua varian, dengan harga bermula pada RM134,888.

"Rangkaian Ranger baharu ini didatangkan lapan pilihan warna termasuk tiga wana baharu iaitu Saber (untuk Wildtrak sahaja), Magnetic dan Lightning Blue, Cool White, Meteor Grey, Aluminiun Metallic, Frozen White dan Absolute Black.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebagai tawaran untuk pelanggan terawal, 888 pelanggan pertama yang mendaftarkan Ford Ranger baharu bakal menerima baucer barangan elektrik bernilai RM1,000.

"Selain itu, SDAC akan menawarkan penyelenggaraan percuma selama dua tahun atau sehingga 40,000 kilometer (yang mana tiba dahulu) kepada pelanggan yang berjaya mendaftar sebelum 31 Januari 2019," katanya.

Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz (kanan) dan Pengarah Urusan Sime Darby Motors Malaysia, Thailand dan Taiwan, Dennis Ho (kiri) melancarkan barisan Ford Ranger baru di Pusat Konvensyen Setia City. - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X