Selasa, 13 November 2018 | 8:28pm
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini memperkenalkan tiga model kenderaan utiliti sukan (SUV) berprestasi tinggi baharu iaitu Mercedes-AMG GLC 63 S, 63 S Coupe serta G 63 untuk pasaran tempatan. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini memperkenalkan tiga model kenderaan utiliti sukan (SUV) berprestasi tinggi baharu iaitu Mercedes-AMG GLC 63 S, 63 S Coupe serta G 63 untuk pasaran tempatan. - Foto Mohd Fadli Hamzah

SUV berprestasi tinggi Mercedes-AMG dilancar

SEPANG: Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini memperkenalkan tiga model kenderaan utiliti sukan (SUV) berprestasi tinggi baharu iaitu Mercedes-AMG GLC 63 S, 63 S Coupe serta G 63 untuk pasaran tempatan.

Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Kenderaan Penumpang MBM, Mark Raine, berkata model GLC 63 S dan 63 S Coupe dikuasakan enjin 4.0 liter biturbo V8 yang mampu menghamburkan 510 kuasa kuda (hp) dengan tork puncak 700Nm.

Malah katanya, dua jentera itu adalah kenderaan pertama untuk segmen berkenaan yang dikuasakan enjin biturbo lapan silinder.

“Pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) mampu dicapai pada catatan masa 3.8 saat dengan kelajuan maksimum 270km/j.

“Menariknya model ini adalah dua pengecas turbonya diletakkan sekali dalam silinder ‘V’. Kelebihan utama untuk reka bentuk ini adalah penghasilan enjin kompak, maklum balas lebih optimum serta pelepasan gas ekzos rendah

“Kedua-dua model itu turut dipadankan transmisi AMG Speedshift MCT sembilan kelajuan, yang diperkenalkan pada Mercedes-AMG E63 4Matic+,” katanya pada majlis pelancaran Mercedes-AMG GLC 63 S, 63 S Coupe dan G 63 di sini, hari ini.

Katanya, model baharu itu juga dilengkapi mod pemanduan dinamik AMG Comfort, Sport, Sport Plus dan Individual untuk menawarkan pengalaman pemanduan berbeza menerusi maklum balas enjin, transmisi, suspensi, stereng dan pemanduan semua roda.

”Dari segi penampilan luaran, GLC 63 adalah kenderaan Mercedes-AMG pertama yang disertakan gril Panamericana, yang mana sebelum ini ia hanya didapati pada rangkaian AMG GT.

“Selain itu, menerusi pakej kemasan hitam AMG Night, ia sekali gus menyerlahkan wajah yang lebih sporty, hasil daripada rim lima jejari 21 inci berwarna hitam matte.

“Penampilan sporty itu juga dicerminkan pada bahagian dalaman dengan tempat duduk balutan kulit Nappa digandingkan dengan balutan kulit ARTICO pada papan pemuka dan tali pinggang keledar berwarna merah,” katanya.

Beralih kepada model G-Class 63 baharu, Raine berkata, kedudukan model ikonik itu terletak dalam kalangan kenderaan berprestasi off-road yang turut dilengkapi prestasi atas jalan (on-road) yang berkuasa tinggi.

Katanya, selain kekal dengan reka bentuk unik G-Class yang dipertingkat, model baharu itu turut menawarkan kualiti pemanduan lebih baik dan selesa berbanding model terdahulu.

“Sama seperti GLC 63 S dan 63 S Coupe, model ini juga menggunakan enjin 4.0l biturbo V8, model ini mampu menghasilkan kuasa 585 hp dengan tork maksimum 850Nm.

“Ia mampu melakukan pecutan 0 hingga 100 km/j dengan catatan masa 4.3 saat. Selain itu, ia dipadankan transmisi AMG Speedshift TCT 9G.

“Model ini juga dilengkapi mod pemanduan off-road iaitu Sand, Trail dan Rock yang membolehkan sistem suspensi bertindak balas terhadap permukaan jalan berbeza bagi menawarkan pemanduan lebih mantap,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, Mercedes-AMG G 63 itu juga dilengkapi teknologi terkini termasuk Pemanduan Pintar dengan Pakej Bantuan Pemanduan, arahan suara, sistem audio Burmester, Pakerj Parkir dan Kemasukan Tanpa Kunci.

INFO

- Mercedes-AMG GLC 63 S: RM915,888

- Mercedes-AMG GLC 63 S Coupe: RM933,888

- Mercedes-AMG G 63 - RM1.46 juta

Berita Harian X