Rabu, 26 Disember 2018 | 6:36pm
Menerapkan reka bentuk ikonik G-Class
Menerapkan reka bentuk ikonik G-Class

Mercedes-AMG G 63 lebih gagah

JIKA anda seorang peminat kenderaan utiliti sukan (SUV) berprestasi tinggi, pastinya Mercedes-AMG G 63 mendatangkan keterujaan.

Mana tidaknya, digelar 'Godfather of SUV', model SUV premium itu kekal dengan reka bentuk ikonik G-Class yang menampakkan penampilan kukuh serta lebih gagah berbanding kebanyakan SUV pada masa ini.

Diperkenalkan seiring dengan model GLC 63 S dan GLC 63 S Coupe baru-baru ini, reka bentuk ikonik G 63 ini sekali gus lebih menyerlah antara tiga model baharu berkenaan.

Enjin lebih kompak, jana 585 hp

Dikuasakan enjin 4.0 liter (L) V8 biturbo, ia mampu menjana 585 kuasa kuda (hp) dan tork maksimum 850 Nm.

Dipadankan dengan sistem transmisi AMG Speedshift TCT 9G, ia membolehkan jentera itu melakukan pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) pada catatan masa 4.5 saat. Bagaimanapun, kelajuan maksimumnya dihadkan kepada 220 km/j atau 240 km/j dengan pakej AMG Driver.

Bahagian dalaman Mercedes-AMG G 63 menerima sentuhan dan kelengkapan AMG menampakkan gaya lebih sporty dan serba mewah.
Bahagian dalaman Mercedes-AMG G 63 menerima sentuhan dan kelengkapan AMG menampakkan gaya lebih sporty dan serba mewah.

Mercedes-AMG G 63 terus mengekalkan reka bentuk ikonik model G-Class, menghasilkan imej lebih garang berbanding SUV lain.
Mercedes-AMG G 63 terus mengekalkan reka bentuk ikonik model G-Class, menghasilkan imej lebih garang berbanding SUV lain.

Menariknya model ini, dua pengecas turbo yang diguna pakai diletakkan sekali dalam silinder 'V', membeir kelebihan untuk reka bentuk enjin lebih kompak, maklum balas lebih optimum serta pelepasan ekzos rendah.

Penampilan sporty, lebih kukuh

Di bahagian luaran, SUV ini dilengkapi lampu utama Multibeam LED serta kemasan Pakej AMG Night Edition 1. Ia didatangkan dengan rim 22 inci AMG, brek kaliper AMG merah dan sunroof boleh dibuka.

Untuk bahagian dalam, ruang kabinnya menampilkan lebih banyak perincian AMG, seperti kemasan gentian karbon warna merah dan stereng AMG balutan kulit Nappa.

Tempat duduk juga digunakan bahan sama, malah disertakan kemasan benang dan tali keledar berwarna merah, sekali gus menghasilkan suasana serba mewah dan sporty.

Berbanding model sebelum ini, kerangka G 63 adalah 55 peratus lebih kukuh, dengan berat berkurangan sebanyak 170 kilogram.

Malah, dengan 101 mm lebih panjang, 121mm lebih rendah dan 40mm lebih tinggi, ia sekali gus menawarkan ruang lutut lebih banyak untuki penumpang belakang.

Mercedes-AMG GLC 63 S Coupe dilengkapi pelbagai ciri fungsi terkini, termasuk paparan skirn infotainmen di tengah.
Mercedes-AMG GLC 63 S Coupe dilengkapi pelbagai ciri fungsi terkini, termasuk paparan skirn infotainmen di tengah.

Pelbagai mod pemanduan

Dari segi pemanduan, model G 63 ini juga mempunyai pilihan mod pemanduan iaitu 'Comfort', 'Sport, 'Sport+', Slippery' dan 'Individual', malah, sebagai jentera yang mempunyai kedudukan dalam kalangan kenderaan off-road, ia juga dilengkapi pilihan mod pemanduan off road iaitu 'Sand', 'Trail' dan 'Rock'.

Menerusi itu, ia membolehkan sistem suspensi bertindak balas terhadap permukaan jalan berbeza bagi menawarkan pemanduan lebih mantap.

Sebagai bonus, SUV premium itu juga dilengkapi teknologi terkini termasuk Pemanduan Pintar dengan Pakej Bantuan Pemanduan, arahan suara, sistem audio Burmester, Pakej Parkir dan Kemasukan Tanpa Kunci.

GLC 63 S, GLC 63 S Coupe lebih moden

Sekiranya penampilan G 63 tidak menarik, mungkin GLC 63 S dan GLC 63 S Coupe yang menampilkan reka bentuk moden pilihan lebih sesuai.

Kedua-dua model itu dikuasakan enjin 4.0 Liter biturbo V8 yang dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift MCT sembilan kelajuan serta sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MAtic+, mampu menghasilkan 510hp serta pecutan 0 hingga 100 km/j dengan catatan masa 3.8 saat.

Kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 270 km/j.

Bagi aspek kemasan luaran, kedua-dua model terbabit dilengkapi perincian sama, seperti penggunaan rim AMG 21 inci, Pakej Night AMG, lampu multibeam LED dengan lampu tinggi adaptif serta sunroof.

Mercedes-AMG GLC 63 S dilengkapi stereng AMG dengan gabungan kemasan dua tona pada bahagian dalaman.
Mercedes-AMG GLC 63 S dilengkapi stereng AMG dengan gabungan kemasan dua tona pada bahagian dalaman.

Ia juga hadir dengan rekaan gril Panamericana, yang mana sebelum ini hanya didapati pada rangkaian AMG GT, untuk menghasilkan wajah yang lebih sporty.

Ruang kabin turut dilengkapi perincian khusus AMG, seperti pada bahagian stereng yang dibaluti gentian mikro Dinamica serta dan tempat duduk balutan kulit Nappa.

Ia juga disertakan tali keledar merah, kulit Artico hitam pada bahagian pemuka, kemasan gentian karbon dan aluminium AMG serta pelapik bawah pintu.

INFO

• Mercedes-AMG GLC 63 S: RM915,888

• Mercedes-AMG GLC 63 S Coupe: RM933,888

• Mercedes-AMG G 63 - RM1.46 juta

Berita Harian X