Rabu, 26 Disember 2018 | 8:55pm
KETUA Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong. - Foto Owee Ah Chun
KETUA Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong. - Foto Owee Ah Chun

Proton, UEM Edgenta bekerjasama urus tenaga

KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta nasional, Proton, bekerjasama dengan UEM Edgenta Bhd (UEM Edgenta), bagi menguruskan insiatif keberkesanan tenaganya, Kontrak Prestasi Tenaga (Energy Performance Contract) (EPC), di dua pusat kemudahannya untuk tempoh tujuh tahun.

Menurut kenyataan bersama Proton dan UEM Edgenta hari ini, EPC berkenaan dilaksanakan di Pusat Kecemerlangan (COE) Proton di Sime UEP Industrial Park dan kilang pengeluaran Tanjung Malim.

EPC itu akan memberikan kecekapan tenaga yang membolehkan Proton mengurangkan minimum 30 peratus jumlah penggunaan tenaga di COE Proton dan 10 peratus jumlah penggunaan tenaga di kilang Tanjung Malim.

Ini membolehkan pengurangan sebanyak 4,800 kilogram pelepasan gas rumah hijau setahun dan penjimatan tidak kurang daripada RM3 juta setahun, kata syarikat berkenaan.

Inisiatif itu termasuk mengoptimumkan pengubahsuaian pencahayaan, penggantian sistem penyejuk, pemasangan dan mengoptimumkan sistem udara pemampat serta pemasangan sistem pengawasan tenaga berasaskan Awan dan Objek Rangkaian Internet di kedua-dua kemudahan berkenaan.

Ia termasuk penyelenggaraan dan perkhidmatan yang komprehensif terhadap kesemua peralatan di bawah kontrak berkenaan.

Sebagai tambahan kepada faktor alam sekitar, inisiatif ini juga dijangka mengurangkan kos operasi keseluruhan Proton sebaik pengeluar kereta itu meningkatkan jam operasi berikutan jangkaan peningkatan jumlah pengeluaran kereta yang akan bermula tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong, berkata antara prinsip utama Industri 4.0 adalah kepentingan membuat sesuatu yang lebih baik sambil menjadikan sesuatu itu lebih baik.

“Inisiatif ini bukan sekadar membolehkan Proton berkembang dengan cara yang positif melalui pengembangan kilang kami dan juga sebagai pembangunan produk, tetapi turut membenarkan kami melakukannya dengan mengurangkan keseluruhan kesan karbon,” kata ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Datuk Azmir Merican pula menambah, konsep berkongsi penjimatan EPC membantu syarikat mengatasi komitmen modal awal dengan keputusan lebih pantas. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X