Selasa, 15 Januari 2019 | 9:53pm
DARELL Leiking pada majlis Pelancaran Perodua Aruz di Kuala Lumpur. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Perodua Aruz dilancar

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) hari ini secara rasmi melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharunya, iaitu Perodua Aruz untuk pasaran tempatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata SUV tujuh tempat duduk itu ditawarkan menerusi dua pilihan varian iaitu 1.5 X dan 1.5 Advance, masing-masing pada harga RM72,900 dan RM77,900 dengan lima pilihan warna merangkumi Ivory White, Glittering Sliver, Electric Blue, Granite Grey dan warna baharu Amazon Green.

Katanya, Perodua Aruz adalah kenderaan cekap tenaga (EEV) keempat dihasilkan syarikat automotif terbabit, dengan 95 peratus daripada komponennya adalah daripada sumber tempatan.

“Perodua Aruz menerajui arah baharu untuk kami. Kemasukan ke segmen SUV ini membawa PERODUA ke pasaran baharu yang mana kami akan mempertingkatkan inisiatif kepuasan pelanggan untuk memenuhi keperluan dan kehendak mereka.

“Dengan Perodua Aruz, orang ramai kini boleh menikmati sebuah SUV termasuk ciri-ciri canggih yang biasanya hanya terdapat dalam kenderaan mewah.


DARELL Leiking pada majlis Pelancaran Perodua Aruz di Kuala Lumpur. - NSTP/Mahzir Mat Isa

“Ini menjadikannya antara SUV dengan nilai terbaik pada masa kini,” katanya pada majlis Pelancaran Perodua Aruz, di sini, sebentar tadi.

SUV itu dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan disaksikan oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa.

Menurut Zainal, ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada semua varian Aruz termasuk kawalan kestabilan kenderaan (VSC), ISOFIX dan enam beg udara, manakala varian Advance dilengkapi sistem Bantuan Keselamatan Canggih (ASA) 2.0 yang dinaik taraf dengan penambahan pengesanan pejalan kaki serta peningkatan kelajuan operasi.

“Malah, model baharu ini juga menerima penarafan keselamatan lima bintang daripada ASEAN NCAP oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

“Selain itu, SUV ini juga memberi kecekapan bahan api terbaik dalam segmen dengan 15.6 kilometer selitar (km/l),” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, model SUV terbaharu itu sehingga kini sudah menerima 2,200 tempahan sejak dibuka bermula 3 Januari lalu.

“Setiap pembelian akan ditawarkan waranti selama lima tahun atau 150,000 km (yang mana terdahulu).

“Sebagai bonus, bermula 9 Januari, semua pelanggan yang membeli insurans motor Perodua Total Protect Plus bukan sahaja akan menikmati Perodua Auto Assist percuma tetapi juga penamaan pemandu percuma tanpa had, elaun banjir sehingga RM1,000 serta perlindungan kemalangan peribadi sehingga RM10,000,” katanya.

Berita Harian X