Khamis, 17 Januari 2019 | 2:16pm

Kereta sport Lotus bakal dikeluarkan di China

BEIJING/SHANGHAI: Pemilik unit Lotus di China julung kali merancang untuk memulakan pengeluaran jenama kereta ‘sport’ British itu di China dengan pembukaan kilang terbaharunya bernilai sembilan bilion yuan (AS$1.3 bilion) di Bandar Wuhan, menurut pengiklanan pekerjaan syarikat dan dokumen kerajaan.

Perancangan yang tidak dilaporkan sebelum ini, menyatakan ia adalah langkah pertama Zhejiang Geely Holding Group untuk memulihkan jenama British itu sejak pembelian saham majoritinya pada 2017.

Langkah itu adalah selaras dengan matlamat Geely untuk membangunkan lebih banyak pasaran kereta dan melenyapkan reputasinya sebagai pereka tiruan dan kualiti rendah.

Bagi Lotus, ia adalah langkah positif ke arah pengeluaran lebih besar dan pelancaran model terbaharu seperti SUV, seterusnya meningkatkan jualan.

“Bagi Geely, yang berusaha untuk mencapai tahap lebih tinggi, ia dapat membantu menguasai lebih banyak bahagian pasaran,” kata Penganalisis LMC Automotif berpangkalan di Shanghai, Alan Kang.

Katanya, Geely perlu mengambil langkah seumpama itu untuk lebih bersaing dengan jenama lain di peringkat global.

Kereta Lotus kini dibangunkan di Norfolk, England.

Geely dan Lotus dalam satu kenyataan bersama berkata, sementara Norfolk menjadi negara pengeluar asal bagi Lotus, strategi utama firma berkenaan untuk ‘memulihkan’ semula jenamanya adalah memperluaskan pembuatan jenama itu di seluruh dunia.

“Butiran lanjut mengenai lokasi dan model berkenaan akan diumumkan pada masa terdekat,” katanya dalam satu emel kepada Reuters.

-REUTERS

Berita Harian X