Khamis, 17 Januari 2019 | 9:21pm
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BMW Malaysia, Harald Hoelzl.

Jualan BMW Malaysia meningkat lapan tahun berturut-turut

KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia (BMW Malaysia) melakarkan jualan tertinggi selama lapan tahun berturut-turut merangkumi 14,338 unit kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad pada 2018, pertumbuhan sebanyak 13 peratus berbanding dengan 2017.

Pengarah Urusan BMW Malaysia, Harald Hoelzl, berkata jualannya itu mencerminkan pengukuhan prestasi perniagaan BMW di seluruh dunia di mana sejumlah 2,652,123 kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad berjaya dijual pada 2018.

“Di peringkat global, BMW telah menyerahkan sejumlah 2,125,026 kenderaan, MINI menyaksikan 361,531 pemilik baharu manakala BMW Motorrad juga mencapai rekod penghantaran dengan pendaftaran 165,566 pemilik baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Hoelzl berkata pada 2018, kumpulan itu memperkenalkan 12 model baharu merentasi jenama BMW dan MINI, empat daripadanya merupakan kenderaan elektrik.

“Kumpulan juga melancarkan dua kenderaan berkonsep baharu buat pertama kalinya, bukan sahaja di Malaysia malah di Asia Tenggara.

“Kami juga mengembangkan infrastruktur mobiliti elektro di negara ini dengan memperkenalkan fasiliti-fasiliti pengecasan BMW i baharu di empat negeri untuk merealisasikan visi kami mengenai Mobiliti Masa Hadapan Malaysia,” katanya.

Ia juga katanya menyaksikan 12,008 pemilik baharu di Malaysia pada 2018 dan ini merekodkan kenaikan sebanyak 13 peratus daripada 2017.

Pencapaian itu diterajui oleh penyerahan 3,363 unit kenderaan BMW 3 Series dan 2,149 daripada jumlah itu merangkumi BMW 330e M Sport manakala X5 xDrive40e turut menjadi penyumbang utama dengan lebih 2,900 unit terjual.

MINI juga mencatatkan pertumbuhan sebanyak 18 peratus dengan penyerahan 1,200 kenderaan pada tahun lepas, dengan lebih daripada 90 MINI Countryman Pluh-In Hybrid berjaya diserahkan sejak ianya diperkenalkan pada April 2018.

Kumpulan turut mencatatkan prestasi terbaik untuk kenderaan berelektrik pada tahun lepas di mana model elektrik BMW dan MINI merangkumi 57 peratus daripada jumlah kereta yang telah diserahkan.

Sementara itu, segmen BMW Motorrad menyaksikan 1,130 pemilik baru pada 2018 dengan pertumbuhan sebanyak lebih daripada tujuh peratus berbanding dengan 2017.

Kumpulan Perkhidmatan Kewangan BMW Malaysia, pula berkata ia telah mencapai satu portfolio perniagaan yang kukuh pada 2018 dengan lebih daripada 6,100 kontrak direkodkan.

“Ia membiayai setiap empat daripada 10 kenderaan BMW serta MINI yang diserahkan pada tahun lepas, termasuk enam daripada 10 motorsikal BMW Motorrad pada tahun berkenaan.

“Selain itu, ia menginsuranskan setiap tujuh daripada 10 kenderaan Kumpulan BMW Malaysia melalui portfolio penyelesaian insuransnya,” katanya.

Hoelzl menambah 2019 akan menjadi satu lagi tahun yang menarik bagi kumpulan itu di Malaysia, dengan pengenalan produk yang lebih mantap, mencerminkan limpahan model terbesar oleh kumpulan itu di seluruh dunia.

– BERNAMA

Berita Harian X