Isnin, 4 Februari 2019 | 2:01pm
KETUA Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Pengurangan duti eksais kenderaan CKD dijangka diumum dalam NAP2019

KUALA LUMPUR: Pengurangan duti eksais bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dijangka antara langkah yang akan digariskan dalam Dasar Automotif Negara 2019 (NAP 2019) yang akan diumumkan pada hujung bulan depan.

Pemerhati pasaran berkata, meskipun langkah itu menjejaskan pendapatan kerajaan, ia akan memberi impak langsung dari segi penurunan harga kenderaan CKD, selain tarikan pelaburan baharu dan peningkatan pemilikan kenderaan di negara ini.

Duti eksais ke atas komponen yang diimport untuk kereta penumpang CKD ketika ini adalah sekitar 75 peratus hingga 105 peratus, bergantung kapasiti enjin.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, berkata pengurangan duti eksais, dari segi kebaikan dan keburukannya kepada pendapatan kerajaan perlu dilihat secara menyeluruh.

Katanya, secara am, pendapatan kerajaan yang berkurangan itu akan diganti dengan hasil peningkatan penjualan kenderaan, selain keuntungan perniagaan serta pelaburan baharu.

“Peningkatan kerjaya dan keupayaan perniagaan juga dijangka membawa manfaat tidak langsung yang bernilai kepada seluruh ekosistem automotif serta warga Malaysia keseluruhannya,” katanya ketika dihubungi BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming dilaporkan berkata, pengurangan duti eksais yang menjadi salah satu impak positif kepada pengguna memberi kesan langsung kepada pemilikan kenderaan.

Pada taklimat media, Kian Ming turut menggariskan beberapa strategi termasuk kajian semula insentif kenderaan jimat tenaga (EEV) yang akan menjadi inti pati penting dalam NAP 2019.

Mengulas lanjut, Madani berkata, NAP menawarkan insentif secara ‘customised’ kepada pengeluar kenderaan berdasarkan kesesuaian model perniagaan dalam menjana nilai tambah kepada ekosistem automotif tempatan.

Katanya, insentif itu tidak hanya terhad kepada pelaburan dalam pengeluaran CKD, malah ditawarkan untuk aktiviti nilai tambah termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), pelaburan langsung asing (FDI) serta pelaburan langsung domestik (DDI) serta keupayaan menjana peluang pekerjaan dan perniagaan bagi rakyat Malaysia di dalam rantaian nilai automotif.

“Galakan insentif secara ‘customised’ ini membawa impak positif kepada ekosistem tempatan disebabkan struktur penyesuaian insentif yang menepati kekuatan dan kebolehan pelabur itu sendiri dan mewujudkan keseimbangan bagi memenuhi keperluan pengeluar dan pengguna.

“Ini dapat dilihat melalui pelaburan tambahan oleh pengeluar bagi memperluaskan kapasiti perbuatan, usaha sama baharu di antara syarikat pembekal tempatan dan antarabangsa dalam produk teknologi strategik, mahupun peningkatan kerjaya baharu dalam bidang reka bentuk kereta serta komponen yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Maybank IB Research dalam nota penyelidikan berkata, langkah pengurangan duti eksais itu akan menjadi peningkatan positif ke arah liberalisasi industri automotif.

Penganalisis Ivan Yap berkata, daripada pemantauan, pihaknya mendapati syarikat yang memiliki jumlah jualan kereta CKD lebih tinggi bakal meraih mendapat manfaat ini.

“Tambahan, syarikat yang memiliki kandungan import lebih 40 peratus bagi model CKD mempunyai lebih banyak ruang untuk pengurangan duti eksais,” katanya.

Langkah itu dijangka lebih memanfaatkan pengeluar kenderaan Jepun dan Eropah yang memasang kenderaan di negara ini susulan kandungan komponen importnya lebih tinggi berbanding jenama nasional seperti PERODUA dengan kandungan importnya kira-kira 10 peratus.

Dari sudut lain, Yap menjelaskan, syarikat yang memiliki lebih banyak pendedahan kepada model import sepenuhnya (CBU) seperti model kereta Eropah akan berdepan lebih banyak persaingan.

Berita Harian X