Khamis, 28 Februari 2019 | 4:17pm
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking (dua kanan) diiringi Pengerusi Institut Automotif, Robotik dan IOT Malaysia, Datuk Phang Ah Tong (kanan); Ketua Setiausaha MITI, Datuk Lokman Hakim Ali (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari (dua kanan) melancarkan Malaysia Autoshow 2019. Foto NSTP/Saifullizan Tamadi.

Malaysia Autoshow 2019 sasar jualan RM250 juta

CYBERJAYA: Pameran automotif Malaysia Autoshow 2019 yang berlangsung pada 11 hingga 14 April ini dijangka meraih jualan lebih RM250 juta dengan sasaran pengunjung 350,000 orang.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan Iot Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, berkata penganjuran kali ini lebih banyak menumpukan kepada perkembangan industri automotif dan mempamerkan kenderaan dengan teknologi terkini.

Beliau berkata, ia akan membabitkan hampir semua jenama automotif yang akan mempamerkan lebih 100 kereta, termasuk model baharu yang akan memacu jualan lebih tinggi.

“Penganjuran tahun lalu kita berjaya merekodkan jualan kenderaan sebanyak RM250 juta dan tahun ini kami jangkakan ia akan lebih tinggi atau sama dengan tahun lalu.

“Pameran selama empat hari di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang itu juga dijangka menarik 350,000 pengunjung.

“Objektif utama MARii dalam penganjuran kali ini adalah memperkenalkan teknologi dan inovasi baharu kenderaan sekaligus meningkatkan lagi industri automotif,” katanya selepas majlis pelancaran awal Malaysia Autoshow 2019 di sini, hari ini.

Majlis dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking.

Madani menjelaskan, Malaysia Autoshow2019 juga dijangka menjadi nadi untuk memacu jumlah jualan kenderaan (TIV) tahun ini yang diunjurkan mencecah 600,000 unit kenderaan.

"Dengan sentimen yang positif, Malaysia Autoshow akan memberi sumbangan penting kepada TIV tahun ini. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga teruja dengan perkembangan industri automotif dan akan melancarkan pameran kali ini," katanya.

Sementara itu, Darell Leiking berkata, industri automotif adalah elemen penting kepada pertumbuhan negara terutama dari segi teknologi dan inovasi.

Beliau berkata, apa yang penting dalam penganjuran kali ini bukan hanya jualan semata-mata tetapi memberi pengetahuan mengenai teknologi dan inovasi.

Berita Harian X