Jumaat, 8 March 2019 | 5:00pm
Pelancaran Nissan X-Trail baharu di Edaran Tan Chong Motor (ETCM), Temasya Industri Park. Foto NSTP/Roslin Mat Tahir.

ETCM buka tempahan Nissan X-Trail baharu

SHAH ALAM: Edaran Tan Chong Motor (ETCM) membuka tempahan bagi model diperbaharui Nissan X-Trail baharunya yang dijangka dilancarkan secara rasmi bulan depan.

Model ‘facelift’ X-Trail itu menawarkan varian hibrid 2.0L baharu serta tiga varian enjin termasuklah 2.5L 4WD, 2.0L 2WD mid dan 2.0L 2WD.

Anggaran harga termasuk insurans bagi X-Trail 2.0L Hybrid adalah RM169,000; 2.5L 4WD (RM159,000), 2.0L 2WD mid (RM149,000) dan 2.0L 2WD (RM139,000).

Ia didatangkan dengan jaminan perbatuan tanpa had selama lima tahun termasuklah alat ganti hibrid dan bateri litium ion HEV.

Model baharu itu juga dilengkapi dengan teknologi keselamatan yang canggih dikenali sebagai ‘Nissan Intelligent Mobility’ dan ia merangkumi amaran pelanggaran hadapan, sistem brek kecemasan hadapan, kawalan pelayaran dan bantuan lampu tinggi.

Semua varian model ‘facelift’ X-Trail itu mendapat pengiktirafan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Selain itu, antara ciri standard lain yang ada pada model berkenaan adalah amaran pelepasan laluan, amaran titik buta, pemantauan objek bergerak dan amaran lalu lintas silang belakang.

Ia juga dilengkapi dengan rekaan gril hadapan baharu, sistem Navi Infotainment tujuh inci dan tempat duduk kulit.

Dari aspek keselamatan, ia dilengkapi dengan enam beg udara, brek letak kereta elektronik dengan fungsi pemegangan auto, kawalan dinamik kenderaan, sistem kawalan daya tarikan, sistem brek anti-kunci, bantuan brek dan pengagihan kuasa brek elektronik.

Ia boleh didapati dalam lima warna berbeza iaitu Brilliant White, Tungsten Silver, Titanium Olive, Diamond Black dan Imperial Umber.

Berita Harian X