Selasa, 12 March 2019 | 9:03pm
PENGARAH Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl (kanan) bersama Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia, Sashi Ambi ketika melancarkan BMW M850i xDrive Coupe atau The 8 di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

BMW tampil sport mewah 'The 8'

KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia melancarkan kereta sport mewah terbaharunya di kenali ‘The 8’, yang boleh didapati di semua rangkaian pengedar bertauliah mulai Jumaat ini pada harga jualan bermula RM1,088,800.

Dibangunkan di atas litar lumba untuk mengecapi tahap kelincahan, kejituan dan keterampilan terbaik, ‘The 8’ menggabungkan enjin yang berkuasa tinggi dengan sistem pacuan semua roda yang pintar, BMW xDrive serta tampil dengan struktur reka bentuk yang mengguna pakai ‘BMW EfficientLightweight’.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl, berkata coupe sport yang pertama kali diperkenalkan pada 1989 itu, tidak dapat ditandingi oleh jentera lain dari segi prestasi, inovasi dan kemewahan.

Katanya, ia kenderaan BMW pertama yang memperkenalkan pendikit pacuan berwayar elektronik, Pengawal Stabiliti Dinamik dan Pengendalian Aktif Integral dengan penggunaan teknologi gandar belakang ‘multi-link’.

“Selepas tiga dekad, kami mengambil legasi yang berpaksikan masa hadapan menerusi BMW 8 Series dan kami membawakan coupe sport mewah ini ke dalam era moden untuk menetapkan standard alaf baharu,” katanya.

‘The 8’ diperkenalkan menerusi varian BMW M850i xDrive Coupe yang menampilkan prestasi luar biasa, reka bentuk serba emotif, kemewahan alaf baharu, ciri-ciri yang canggih bagi teknologi paparan dan pengawalan, bantuan pemandu serta aspek keterhubungan.

Reka bentuk luaran ‘The 8’ mendemonstrasikan kemodenan dengan tarikan yang bercirikan sport, serta penggayaan baharu yang memfokuskan kejelasan, kemodenan dan pesona emotif.

Keterampilan kenderaan ini yang serba renek, siluet yang memanjang dengan grafik tingkap yang langsing serta garisan bumbung yang beralun secara elegan ke seksyen belakang dengan kontur ‘double-bubble’ yang tersendiri, jarak roda yang panjang serta kelebaran trek roda yang lebih luas merupakan elemen visual yang mendefinisikan komposisi ‘The 8’.

Model sport mewah ini tampil dengan rangkaian kuasa enjin V8 terbaharu berkapasiti 4.4 liter yang dikemas kini dan dioptimumkan secara radikal.

Dua pengecas turbo ‘twin-scroll’ dengan cas penyejukan udara terletak di dalam ruang yang berbentuk V di antara silinder enjin, Injeksi Berketepatan Tinggi, injap pemboleh ubah VALVETRONIC dan pemasaan aci sesondol pemboleh ubah ‘Double-VANOS’ yang membentuk sebahagian daripada teknologi ‘BMW M Performance TwinPower Turbo’, berupaya untuk menjana tahap kelajuan setinggi 250 kilometer sejam (km/j).

BMW M850i xDrive Coupe dapat mencapai output maksimum sebanyak 390kW atau 530 kuasa kuda (hp) yang dijana menerusi lingkungan 5,500 – 6,000 rpm, manakala tork maksimum adalah 750Nm pada 1,800 sehingga 4,600 rpm.

Enjin V8 turut digandingkan dengan transmisi generasi terkini dengan lapan kelajuan dikenali Steptronic Sports Transmission yang memiliki sebaran nisbah yang dipertingkatkan, pengurusan transmisi baharu dan kawalan hidraulik yang teroptimum untuk mewujudkan profil penukaran gear yang lebih sporty, serta meningkatkan kadar kecekapannya.

Model prestasi BMW M boleh dikenal pasti dengan mudah melalui penampilan luaran yang eksklusif dalam warna kelabu (Cerium Grey), spoiler belakang ‘M’ serta ambang pintu beriluminasi yang memaparkan nama model kenderaan ini.

Ia juga didatangkan dengan spoiler tambahan di bahagian hadapan yang standard untuk meminimumkan daya angkat (lift) yang berlaku pada gandar hadapan ketika kereta ini dipandu pada tahap kelajuan yang tinggi.

‘The 8’ didatangkan dengan brek M Sport 19 inci yang berkuasa tinggi dengan angkup ‘M’ yang berwarna biru.

Spesifikasi standard bagi BMW M850i xDrive juga merangkumi roda ‘M’ beraloi ringan 20 inci dengan penggayaan y-spoke 728 M bersama saiz tayar bercampur.

‘The 8’ adalah model yang sangat canggih dalam segmennya kerana ia bukan saja dilengkapi dengan keupayaan pengawal luncur aktif dengan fungsi ‘Stop & Go’, malah ia juga menawarkan kefungsian ‘Driving Assistant Professional’.

Sistem bantuan pemandu itu merangkumi Amaran Pengeluaran Laluan, Amaran Penukaran Laluan , Amaran Perlanggaran dan Amaran Pejalan Kaki, Amaran Merentas Trafik di hadapan dan belakang, Bantuan Hentian Kecemasan, Bantuan Pengemudian Laluan dengan perlindungan perlanggaran sisi yang aktif dan Bantuan Pengelakan yang bertindak balas terhadap kehadiran pejalan kaki di kawasan sekeliling.

‘The 8’ menawarkan pilihan warna yang terdiri daripada warna metalik ‘Carbon Black’, ‘Black Sapphire’, ‘Sonic Speed Blue’, ‘Barcelona Blue’, ‘Sunset Orange’ dan warna ‘Mineral White’ digandingkan dengan material kulit BMW Individual Merino sebagai kemasan bagi tempat duduk yang berwarna Hitam, Cognac atau Putih (Ivory White).

Berita Harian X