Rabu, 20 March 2019 | 7:24pm
Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes Sdn Bhd, Datuk Razak Al Malique bersama motosikal Triumph Speed Twin. NSTP/Supian Ahmad.

Triumph lancar lima model baharu

PETALING JAYA: Fast Bikes Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal jenama Triumph di Malaysia, hari ini memperkenalkan rangkaian klasik moden Triumph 2019 dengan melancarkan lima model baharu untuk pasaran tempatan iaitu Street Twin, Street Scrambler, Scrambler XC, Scrambler XE dan Speed Twin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Razak Al Malique, berkata model Street Twin 2019 dijual pada harga RM55,900, dan ditawarkan menerusi tiga pilihan warna iaitu Matt Ironstone, Korosi Red dan Jet Black.

"Dijana enjin Bonneville 900cc yang dipertingkat, ia membolehkan jentera itu menghasilkan kuasa 65 PS pada 7,500 rpm dan tork maksimum 80Nm pada 3,800 rpm.

"Antara teknologi yang hadir pada motosikal ini termasuk mod tunggangan Road dan Rain baharu, keupayaan memilih aksesori Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), kawalan cengkaman boleh tukar serta dilengkapi angkup brek depan Brembo dengan empat omboh baharu," katanya pada majlis pelancaran Rangkaian Klasik Moden Triumph 2019, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Street Scrambler 2019 membawakan dimensi baharu dalam prestasi menerusi peningkatan kuasa dan spesifikasi, teknologi termaju dalam kelasnya dan tahap kemasan yang lebih baik.

"Dijual pada harga RM64,900, motosikal ini hadir dengan pilihan warna Fusion White, Cranberry Red dan Khaki Green dengan Matt Aluminium.

“Selain itu, ia juga didatangkan mod tunggangan Road, Rain dan Off-Road, kawalan cengkaman boleh tukar serta ABS," katanya.

Sementara itu, model Scrambler 1200 XC dan XE masing-masing dijual pada harga RM80,900 dan RM86,900, menampilkan unit suspensi belakang Ohlins spring berkembar boleh laras sepenuhnya untuk kelebihan mengharungi laluan lasak.

Menggunakan enjin Bonneville High Power 1,200cc, ia membolehkan kedua-dua model mencapai kuasa puncak 90 PS pada ,7,400, 38 peratus lebih tinggi berbanding Street Scrambler 2019.Scrambler XC dan XE pula dilengkapi peralatan TFT generasi kedua, enam mod tunggangan, sistem jasalan GoPro bersepadu dan sistem navigasi manakala ciri 'Optimised Cornering ABS', 'Optmised Cornering Traction Control' dan 'Inertial Measurement Unit' (IMU) hanya terdapat pada XE sahaja.

Model Speed Twin pula memiliki enjin Bonneville berkembar selari 1,200cc High Power lapan injap yang dikemaskini secara khusus dengan talaan  'Thruxton' untuk menghasilkan kuasa puncak 97 PS lada 6,750 rpm dan tork maksimum 112 Nm pada 4,950 rpm.

Dilengkapi tiga mod tunggangan iaitu Sport, Road dan Rain, ia dijual pada harga RM73,900 dan ditawarkan menerusi tiga pilihan warna iaitu Silver Ice dan Storm Grey; Korosi Red dan Storm Grey; serta Jet Black.

Berita Harian X